PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa kecewa lantaran Hospital Pasir Gudang (HPG) yang sepatutnya dibuka secara berfasa mulai bulan depan ditangguhkan ke Januari 2026.
Baginda turut kecewa dengan kelemahan-kelemahan yang berlaku antaranya gangguan sistem autogate di Bangunan Sultan Iskanda dan Kompleks Sultan Abu Bakar serta projek tebatan banjir baru-baru ini.
Berikut kenyataan penuh baginda yang dimuatkan dalam media sosial hari ini:
Saya baru dimaklumkan mengenai kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang sepatutnya dibuka secara berfasa bermula Ogos 2025 dan kecewa kerana ia telah ditangguhkan ke Januari 2026.
Berikutan kelemahan-kelemahan baru-baru ini yang berlaku seperti isu gangguan sistem autogate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), hospital, projek tebatan banjir dan sebagainya, ingin saya sampaikan kepada rakyat Johor betapa pentingnya cukai hasil pendapatan negeri Johor harus dipulangkan sebanyak 25 peratus kepada Johor.
Menerusi pulangan cukai itu, kita tidak perlu membebankan Kerajaan Persekutuan atau meminta permohonan daripada Kerajaan Persekutuan dan terpaksa menunggu sekian lama untuk mendapatkan kelulusan.
Apabila hasil cukai pendapatan Johor sebanyak 25 peratus diberikan semula kepada Johor, bermakna Johor boleh berdiri dengan kaki sendiri.
Akhir bulan lalu, HPG yang diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dikatakan akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, fasa awal operasi akan melibatkan 30 peratus perkhidmatan mustahak seperti Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi, serta Jabatan Pediatrik.
“Setakat ini, 274 perjawatan sudah diisi dan kita mengharapkan hospital ini dapat beroperasi secara penuh melibatkan 1,845 petugas pada Julai 2026,” katanya.
Dzulkefly berkata, dengan kapasiti melebihi 300 katil, HPG bakal mengurangkan tekanan yang selama ini ditanggung oleh dua hospital utama di Johor Bahru iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), terutamanya dalam pengurusan kes kecemasan dan pesakit stabil.
Beliau berkata, hal ini selaras dengan kedudukan Johor yang dijangka mencatat jumlah penduduk sebanyak 3.90 juta menjelang 2025 berbanding 3.35 juta pada 2010, dengan kadar pertumbuhan dua peratus setahun, khususnya di Johor Bahru.
Ekoran itu, Tunku Mahkota Ismail menitahkan KKM agar tindakan segera diambil untuk menempatkan petugas kesihatan supaya hospital tersebut dapat beroperasi sepenuhnya dan memenuhi keperluan kesihatan rakyat negeri itu.
Baginda turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan dan pengisian jawatan yang tidak diisi dan menyebabkan kesesakan luar biasa di hospital-hospital di negeri tersebut,
Ini termasuk Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan lain-lain hospital yang berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan. – Edisi 9

