PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) mendakwa hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas tujuh pemain warisan tidak berasaskan undang-undang.
Pencetus revolusi bola sepak kebangsaan itu bertitah, sebaliknya hukuman tersebut bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab sebenar.
Titah baginda, FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang.
“Sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain,” titah baginda menerusi media sosial hari ini.
Semalam, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisannya serta mengekalkan hukuman yang telah dikenakan.
Dengan keputusan itu, FAM diperintahkan membayar denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) manakala setiap pemain diperintahkan membayar denda sebanyak CHF 2,000 (RM10,400) kepada FIFA.
“Kesemua pemain tersebut turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak,” kata FIFA menerusi laman web rasminya.
Tujuh pemain warisan terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FIFA berkata, FAM dan para pemain berkenaan telah dimaklumkan tentang keputusan tersebut hari ini.
“Mereka mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon ‘motivated decision’ dan selepas itu, pihak-pihak terbabit mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” kata FIFA.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, walaupun keputusan tersebut mencetuskan pelbagai polemik namun baginda memilih untuk berdiri bersama-sama para pemain berkenaan.
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke CAS, sebuah badan bebas,” titah baginda. — Edisi 9

