KERAJAAN akan memperkenalkan skim kelayakan berperingkat Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi pemandu-pemandu e-panggilan yang akan diaktifkan mulai pertengahan bulan ini.
Menurut Kementeri Kewangan (MOF), melalui skim tersebut, para pemandu e-panggilan akan menerima subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.60 tanpa subsidi sehingga 800 liter sebulan.
MOF berkata, penambahbaikan itu merupakan hasil perbincangan antara pihaknya dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta syarikat pengendali e-panggilan (EHO).
“(Ini) dalam usaha memastikan pelaksanaan subsidi bersasar lebih saksama dan terangkum demi memelihara mata pencarian pemandu e-panggilan dan teksi lapangan terbang,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.
MOF berkata, di bawah skim tersebut, pemandu e-panggilan yang jarak perjalanan bulan sebelumnya kurang daripada 2,000 kilometer (km) kekal sebanyak 300 liter sebulan.
Bagi yang memandu dengan jarak antara 2,000km ke 5,000km akan mendapat tambahan BUDI95 sebanyak 300 liter menjadi 600 liter sementara yang melebihi 5,000km sebulan mendapat tambahan 500 liter kepada 800 liter.
“Tahap peningkatan siling kelayakan bulanan BUDI95 bergantung kepada jarak perjalanan e-panggilan yang direkodkan dalam sistem EHO bagi bulan sebelumnya,”kata MOF.
Kenyataan itu berkata, jarak perjalanan seseorang pemandu e-panggilan akan dikira berdasarkan jumlah data jarak yang direkodkan oleh semua EHO, dan urusan tersebut akan dikendalikan oleh APAD dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.
Sebagai contoh, katanya, Encik Danial memandu 1,500km dengan EHO A dan 600km dengan EHO B, maka jumlah jarak perjalanan adalah sebanyak 2,100 km dan Encik Danial layak menerima tambahan kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter.
Jelas MOF, EHO bertanggungjawab mengemukakan rekod perjalanan bulanan pemandu e-panggilan secara tepat, sahih dan lengkap kepada APAD serta LPKP Sabah dan Sarawak pada setiap awal bulan.
“Nilai ambang jarak perjalanan baharu ini ditetapkan berdasarkan kajian MOF terhadap data jarak perjalanan e-panggilan yang dikemukakan oleh EHO serta data penggunaan BUDI95 sebenar oleh pemandu e-panggilan pada September 2025.
“Penurunan nilai ambang kelayakan asal dari 3,000km ke 2,000km serta pengenalan peringkat baharu melebihi 5,000km dibuat setelah mengambil kira pergerakan tanpa penumpang yang tidak direkodkan dalam aplikasi EHO,” katanya.
Tegas MOF, langkah itu bagi memastikan jumlah kelayakan BUDI95 untuk setiap peringkat mencukupi bagi menampung jarak perjalanan harian untuk kebanyakan pemandu e-panggilan.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan dan penggunaan pemandu e-panggilan bagi memastikan mekanisme yang terbaik bagi semua pihak dalam jangka masa panjang,”katanya.
Sementara itu, bagi syarikat pengendali teksi lapangan terbang pula kini boleh memohon fleet card di bawah SKPS kendalian KPDN, selaras dengan pelaksanaan sedia ada bagi kategori teksi dan kereta sewa yang layak menerima sehingga 800 liter RON95 bersubsidi setiap bulan.
Namun demikian, jelas MOF, limousin yang beroperasi di lapangan terbang dan tidak dikawal selia kadar tambangnya oleh APAD tidak layak untuk memohon fleet card di bawah SKPS. – Edisi 9

