SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu berkaitan dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) proses kewarganegaraan tujuh pemain warisan bola sepak kebangsaan.
Menurut EAIC, penubuhan pasukan tersebut selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] berkaitan isu membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan siasatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Suruhanjaya itu berkata, pasukan pertugas itu akan diketuai oleh Timbalan Presiden EAIC, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham bersama ahli-ahli suruhanjaya iaitu Datuk Siti Zainab Omar, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail dan Datuk Ong Lam Kiat serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC.
“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 11/2025 yang diadakan pada hari ini, mesyuarat telah memutuskan agar EAIC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur yang berkaitan dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain berkenaan.
“EAIC memohon kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang proses siasatan dijalankan memandangkan isu ini melibatkan kepentingan awam dan integriti negara di peringkat antarabangsa,”kata EAIC dalam kenyataan hari ini.
Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum itu menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain warisannya dan mengekalkan hukuman yang telah dikenakan.
Dengan keputusan itu, FAM diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala setiap pemain diperintahkan membayar denda sebanyak CHF2,000 (RM10,400) kepada FIFA.
“Kesemua pemain tersebut turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak,” kata FIFA menerusi laman web rasminya hari ini.
Tujuh pemain warisan terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Pada 9 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya meluluskan permohonan tujuh pemain daripada FAM untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi.
Beliau berkata, kelulusan itu dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, dengan syarat seperti tempoh mastautin, kelakuan baik dan penguasaan bahasa Melayu dipenuhi.
Saifuddin berkata, ia termasuk dalam senarai 23 pemain yang pernah diluluskan sepanjang perkhidmatannya. – Edisi 9

