DAKWAAN mengenai permohonan umum bagi tambahan had Budi Madani RON95 (BUDI95) sepertimana tular dalam media sosial adalah tidak benar dan tidak berasas, kata Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
MOF berkata, fungsi tambahan tersebut diwujudkan pada awal pelaksanaan BUDI95 namun ia bukan bertujuan untuk permohonan tambahan atas keperluan peribadi, sebaliknya bagi kes tertentu.
Menurutnya, permohonan tambahan itu bagi keperluan operasi yang jelas dan disahkan, seperti pemandu e-panggilan dan pemilik bot namun tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.
“Fungsi permohonan tambahan dalam portal BUDI95 telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had kelayakan secara bebas. Susulan itu, butang permohonan ini telah dinyahfungsikan,” kata MOF dalam kenyataan.
Kementerian itu menegaskan, had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan kekal berkuat kuasa bagi memastikan subsidi disasarkan kepada majoriti rakyat serta bekalan kekal stabil.
Katanya, langkah sementara itu diambil berikutan tekanan pasaran tenaga global yang berterusan, yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah.
“Data menunjukkan had 200 liter mencukupi bagi 90 peratus pengguna BUDI95.
“Pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh membeli RON95 sehingga RM398 sebulan, dengan kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima,” katanya.
MOD berkata, kerajaan akan terus melindungi rakyat, memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan, serta memantau rapi pasaran tenaga global dan bersedia membuat penyesuaian sewajarnya. – Edisi 9

