MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) tidak akan terlibat secara rasmi dalam sebarang perhimpunan yang berunsur partisan, termasuk himpunan “Turun Anwar”.
MPP USM dalam kenyataannya berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan majlis tersebut kekal sebagai entiti yang bebas, neutral dan terbuka kepada seluruh warga mahasiswa tanpa memihak kepada mana-mana ideologi politik.
“Dalam masa yang sama, MPP USM ingin menegaskan USM kini berada dalam tempoh peperiksaan akhir semester.
“Justeru itu, kami menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswi USM agar memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung,” kata kenyataan itu.
Perwakilan pelajar itu mengulas jemputan terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi untuk menyertai Himpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan pada 26 Julai 2025 di ibu negara.
Bagaimanapun, MPP USM berkata, pihaknya yang mewakili suara mahasiswa universiti iru menghormati kepelbagaian
pandangan dalam kalangan mahasiswa, termasuk dalam soal kepimpinan dan dasar semasa negara.
“Kami menjunjung prinsip bahawa setiap mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara, sama ada menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak, asalkan ia dilakukan secara berhemah, aman dan mengikut saluran perundangan yang sah,” katanya.
Sementara itu, MPP Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam nada yang lebih keras juga menolak menyertai himpunan bersifat politik kepartian tersebut.
Katanya, pendirian mereka jelas untuk menolak sekeras-kerasnya penyertaan dalam himpunan tersebut dan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang berpotensi mencetuskan ketidakstabilan serta merosakkan keharmonian negara.
“Kami berdiri teguh menyokong prinsip-prinsip demokrasi, reformasi berfasa dan nilai-nilai Malaysia MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan berasingan. — Edisi 9

