PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter.
Menurut beliau, penurunan harga itu akan dilaksanakan apabila penyasaran subsidi petrol RON95 dengan perinciannya bakal diumumkan menjelang akhir September ini.
“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
“Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu dalam pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan bersasar itu sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat, dan mengurangkan pembaziran subsidi.
Katanya, bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun.
Jelas beliau, sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter iaitu jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat.
“Pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi,” katanya.
Selain penyasaran harga petrol RON95, Anwar berkata, kerajaan juga telah melaksanakan pentrukturan tarif elektrik mulai bulan ini.
Tegas beliau, walaupun ada pihak tidak bertanggungjawab mendakwa bil elektrik rakyat naik susulan penstrukturan tersebut, hakikatnya, 85 peratus pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik Julai 2025 bagi penggunaan yang sama ketimbang separuh tahun pertama 2025 iaitu sehingga 14 peratus.
“Kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak,” katanya.
Turut diumumkan penangguhan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya yang dijadualkan tahun ini, sepertimana perjanjian, sekali gus mengekalkan kadar yang sama.
Susulan itu, Kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta. Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX). — Edisi 9

