PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bantuan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada seluruh rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas.
Beliau berkata, bantuan sempena Hari Kebangsaan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember ini bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400.
“Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion. Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025.
“… ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini.
Anwar berkata, bagi mereka yang mempunyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan tersebut, kerajaan berhasrat jumlah yang tidak dibelanjakan akan diagihkan semula untuk program bantuan kumpulan rentan tahun depan.
Sementara itu, Anwar berkata, Jualan Rahmah MADANI 2025 telah disediakan RM300 juta akan ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta.
Beliau berkata, peruntukan tambahan itu antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara.
Ini meliputi kesemua 600 dewan undangan negeri, selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Katanya, hari kelepasan tersebut bagi menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia.
“Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara,” katanya. — Edisi 9

