CAPITALAND dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik Tahun Ini untuk Keprihatinan Komuniti Cemerlang di bawah kategori Pusat Beli-Belah dan turut menggondol Anugerah Kecemerlangan Jangka Panjang di Anugerah Sustainability & CSR Malaysia Awards 2025.
Menurut Pengarah Urusan, Runcit, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasa komuniti melalui pelbagai inisiatif bermakna, khususnya menerusi program #GivingBersama4.0.
Beliau berkata, ia juga menandakan tahun ketiga berturut-turut CapitaLand menerima anugerah berprestij Syarikat Terbaik Tahun Ini, sekali gus membuktikan komitmen jangka panjangnya dalam memperkaya kehidupan rakyat Malaysia.
“Kami amat berbesar hati menerima anugerah berprestij ini untuk tahun ketiga berturut-turut, lebih-lebih lagi ketika CapitaLand meraikan ulang tahunnya yang ke-25 tahun ini.
“Anugerah ini membuktikan usaha berterusan kami dalam memberi impak positif dan berkekalan kepada komuniti tempat kami beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selina berkata, pihaknya percaya membina komuniti yang berdaya tahan bukan sekadar melalui sumbangan kewangan semata-mata.
Kata beliau, menerusi inisiatif #GivingBersama, pihaknya berasa amat terharu dengan sokongan yang berterusan daripada kakitangan, penyewa, rakan niaga dan komuniti umum.
“Bersama-sama, kita membawa perubahan ketara dalam kehidupan golongan yang memerlukan di seluruh Malaysia.
“Sejak 2011, dengan sokongan CHF, kami telah menbantu lebih 16,100 penerima dan menyumbang lebih daripada RM2.6 juta dalam inisiatif komuniti,” tambahnya.
Tahun lalu, syarikat ini turut diiktiraf atas usaha membantu kanak-kanak kurang berkemampuan.
Anugerah tahunan Sustainability & CSR Malaysia Awards 2025 dikhususkan kepada organisasi yang menunjukkan komitmen cemerlang terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Malaysia. — Edisi 9

