Sunday, July 19, 2026

Projek Dapur Sambal bantu golongan OKU jadi usahawan

Melalui projek tersebut, para peserta terdiri kalangan OKU diberi latihan dalam penghasilan produk sambal belacan dan ibu sambal secara komersial.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

USAHA memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) terus mendapat perhatian apabila satu projek keusahawanan yang dikenali sebagai Projek Dapur Sambal OKU berjaya memberi impak besar kepada komuniti berkenaan.

Projek hasil kerjasama Universiti Malaya melalui Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) bersama Akademi Permata Impian (APIM) itu dilaksanakan dengan sokongan dana permulaan sebanyak RM10,000.

Melalui projek tersebut, para peserta terdiri kalangan OKU diberi latihan dalam penghasilan produk sambal belacan dan ibu sambal secara komersial.

Menurut penyelaras projek, Dr Nurzatil Sharleeza Mat Jalaluddin, pemilihan sambal sebagai produk utama adalah bertepatan memandangkan sambal merupakan identiti makanan rakyat Malaysia yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran tempatan.

“Kita lihat sambal bukan sahaja mudah disediakan, tetapi juga berpotensi besar untuk dikomersialkan. Dengan latihan dan bimbingan sesuai, pelatih OKU di APIM berjaya menghasilkan sambal yang tahan lama dan enak, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan,” katanya.

Para peserta terdiri daripada OKU pembelajaran tekun belajar menghasilkan sambal di bawah Projek Dapur Sambal UM.

Salah seorang peserta bengkel, yang hanya mahu dikenali sebagai Balqis, meluahkan rasa seronok menyertai bengkel tersebut kerana berpeluang mempelajari kemahiran baharu bersama rakan-rakan.

Sementara itu, Pengerusi APIM, Ahmad Sa’ridan Kassim berkata, projek ini bukan sahaja melatih pelatih menghasilkan produk makanan, malah mereka juga diberi pendedahan mengenai aspek pemasaran dan pengurusan hasil tanaman sendiri.

“Ini adalah pengalaman berharga buat mereka. Latihan seumpama ini mampu membuka jalan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dan produktif,” ujarnya.

Bengkel yang dianjurkan sebanyak dua kali pada bulan Mac dan Mei lalu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat, termasuk sukarelawan yang sentiasa menyokong usaha APIM dalam membantu pelatih OKU.

Para peserta bersama para pelatih mereka.

Kejayaan projek ini juga didorong oleh komitmen tinggi tenaga pengajar berpengalaman dalam melatih golongan OKU pembelajaran.

Dalam pada itu, pihak pengurusan pusat latihan OKU disaran untuk terus merancang dan melaksanakan program-program latihan bersesuaian yang meliputi kemahiran asas, komunikasi dan sosial.

Penglibatan aktif institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta amat diperlukan bagi membina ekosistem yang mampan demi meningkatkan kualiti hidup golongan OKU di negara ini.

Masyarakat juga diseru untuk terus memberi sokongan, sama ada melalui pembelian produk keluaran OKU, sumbangan kewangan mahupun penglibatan sebagai mentor atau tenaga pengajar. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan