Monday, July 20, 2026

RM632 juta jualan terkumpul usahawan MARA melalui ‘GTG’

MARA dengan kerjasama MATRADE akan terus memastikan usahawan Bumiputera terus melakar kecemerlangan ke peringkat antarabangsa...

Mesti Baca

SEBANYAK 132 usahawan Melayu-Bumiputera yang dibimbing dan dibiayai melalui Program Khas MARA yang dikenali sebagai Gate-To-Global (GTG) berjaya menembusi pasaran antarbangsa di lebih 20 buah negara dengan hasil jualan terkumpul sebanyak RM632 juta.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu amat membanggakan.

Bahkan beliau berkata, pada hari pertama Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai, China kelmarin, tiga syarikat usahawan Bumiputera MARA berjaya memeterai perjanjian usahasama dengan rakan pengedar di sini dengan nilai jualan lebih RM60 juta. 

“Bukan mudah untuk menembusi pasaran China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk,” katanya sambil mengucapkan penghargaan beliau kepada Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ini kerana kejayaan MATRADE menganjurkan MIHAS@Shanghai 2025 dan mengharumkan nama Malaysia sebagai pavilion terbesar dengan 250 usahawan Malaysia berjaya dibawa ke pameran perdagangan antarabangsa terbesar itu.

Malahan kata Asyraf Wajdi, dengan kerjasama MATRADE jugalah MARA berjaya melaksanakan program Gate-To-Global dengan berkesan.

“MARA dengan kerjasama MATRADE akan terus memastikan usahawan Bumiputera terus melakar kecemerlangan bukan sahaja menembusi pasaran dunia dengan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat antarabangsa tetapi memastikan kelestarian dan pertumbuhan perniagaan yang berterusan,” katanya.

Ketika merasmikan MIHAS@Shanghai 2025 semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbangga melihat jenama-jenama Malaysia berdiri megah di pentas dunia.

Beliau berkata, usahawan Malaysia itu turut membawa bersama nama baik negara melalui mutu produk halal yang diyakini dan berdaya saing tinggi.

“Setiap produk dan inovasi yang dipamerkan memperlihatkan potensi besar Malaysia untuk terus menjadi peneraju industri halal global.

“Saya berharap agar semua usahawan yang menyertai MIHAS@Shanghai 2025 dapat memanfaatkan peluang berharga ini untuk memperkukuh jaringan perniagaan dan membuka ruang pasaran baharu di rantau ini,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan