Saudara Pengarang,
Kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan pelbagai laporan membabitkan perilaku jenayah kalangan pelajar sekolah yang tular di laman sosial.
Tragedi sebegini bukan sekadar menggambarkan gejala sosial, tetapi menzahirkan hakikat bahawa krisis moral dan akhlak generasi muda kini berada pada tahap yang membimbangkan.
Lebih parah, insiden melibatkan empat pelajar lelaki yang merogol pelajar perempuan di dalam kelas memperlihatkan betapa rapuhnya benteng iman dan maruah dalam kalangan remaja Islam kita.
Gejala ini menimbulkan persoalan besar terhadap keutuhan sistem pendidikan, institusi keluarga dan peranan masyarakat Islam secara keseluruhannya.
Apabila remaja Islam mula terjebak dalam pergaulan bebas dan zina sebelum mencapai kematangan akal dan jiwa, hal ini menjadi petanda bahawa nilai haya’ (malu), taqwa dan tanggungjawab sosial semakin luntur.
Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan. Justeru, gejala zina yang semakin membarah dalam kalangan pelajar bukan sekadar isu disiplin, tetapi tanda jelas keruntuhan akidah dan kemerosotan nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Maka, timbul tanda tanya: sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan Islam hari ini dalam menyemai nilai-nilai moral dalam kalangan remaja sekolah?
Persoalan ini membawa kita kepada hakikat yang lebih mendalam bahawa keruntuhan akhlak remaja bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan sistem pendidikan, tetapi bermula daripada asas pembentukan moral di rumah dan persekitaran sosial.
Kegagalan ibu bapa dalam memainkan peranan sebagai pendidik mewujudkan satu ruang yang terbuka kepada anak-anak untuk dipengaruhi oleh budaya barat atau gaya hidup moden yang berpaksikan kebebasan.
Kita boleh kaitkan kekurangan masa ibu bapa bersama anak-anak serta kesibukan melampau dengan urusan pekerjaan menjadi antara penyumbang terbesar terabainya didikan agama yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak.
Hal ini secara langsung memperlihat kelemahan sesebuah institusi keluarga. Manakan tidak, bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Nilai dan tingkah laku anak-anak sering mencerminkan cara didikan serta perhatian yang mereka terima di rumah.
Janganlah kita terhantuk baru terngadah. Ketika itu tiada gunanya lagi menuding jari kepada pihak lain sekiranya anak-anak ini mula terpesong daripada landasan moral yang sebenar, lalu mencari arah kehidupan melalui dunia digital yang sering mengaburkan batas antara halal dan haram.
Hakikatnya, kita sendiri sebagai ibu bapa tidak boleh leka dalam menjalankan amanah yang diberikan Illahi kerana leka sesaat, binasa sepanjang hayat; Bila iman goyah, generasi pun rebah.
Jika diperincikan dalam konteks pendidikan di sekolah, sistem pendidikan sedia ada di negara kita terlalu menumpukan kepada pencapaian akademik dan hafalan teori agama tanpa menekankan penghayatan nilai dan amalan.
Remaja pula dipenuhi dengan sifat ingin tahu yang membuak-buak dalam diri, yang mampu mempengaruhi tindak-tanduk mereka dalam membuat sesuatu keputusan.
Jika pembelajaran di dalam kelas tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai amalan, maka pihak sekolah perlu memikul tanggungjawab dalam merencana dan memastikan pusat pendidikan menjadi tempat pengintegrasian antara ilmu, nilai dan amalan.
Ini agar pengetahuan yang diperoleh bukan sekadar teori tetapi dihayati serta diamalkan dalam membentuk keperibadian pelajar yang seimbang dari aspek intelektual, spiritual dan emosi.
Justeru, pendidikan seharusnya tidak hanya diukur melalui gred dan pencapaian akademik semata-mata, tetapi bagaimana nilai dan ilmu itu berjaya membentuk sahsiah dan keperibadian serta dijadikan panduan dalam kehidupan.
Seperti peribahasa Melayu menyebut, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, usaha pihak sekolah memperkukuh sistem pendidikan yang berteraskan nilai moral dan spiritual tidak boleh hanya tinggal sebagai retorik, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan yang nyata.
Sepertimana yang tular dalam keratan akhbar mahupun media sosial berkaitan kes-kes buli, pembunuhan mahupun kes rogol, kita dapat lihat bagaimana nilai kemanusiaan dan akhlak dalam kalangan remaja kian terhakis hingga sanggup melakukan perbuatan di luar batas moral dan agama.
Boleh dikatakan bahawa generasi zaman kini hidup dalam dunia teknologi tanpa sempadan dan terdedah dengan pelbagai pengaruh yang disajikan kepada mereka antaranya permainan video, hiburan moden dan fahaman sekuralisme.
Oleh itu, tidak hairanlah jika remaja hari ini semakin jauh daripada landasan nilai akhlak Islam, kerana sistem pendidikan dan persekitaran sosial mereka tidak lagi berteraskan tarbiah rohani yang seimbang.
Tanpa disedari, fahaman sekularisme sebenarnya mula menyerap secara halus dalam minda remaja.
Disebabkan itulah, remaja mula melihat maksiat dan pergaulan bebas bukan suatu kesalahan, bahkan sebagai normalisasi.
Malah, ada yang berbangga menonjolkan gaya hidup bertentangandengan syariat Islam di media sosial.
Lebih membimbangkan, pengaruh media sosial yang bersifat terbuka menjadikan perbuatan tidak bermoral dan perlakuan sumbang dalam kalangan remaja semakin kerap menghiasi laman-laman sosial.
Apa yang dahulunya dianggap mengaibkan kini menjadi tontonan umum tanpa rasa bersalah.
Fenomena ini jelas menggambarkan bahawa krisis akhlak yang berlaku bukan sekadar masalah disiplin remaja, tetapi tanda runtuhnya nilai agama akibat fahaman sekular dan liberal yang semakin berakar dalam budaya moden.
Dalam menghadapi dunia yang sarat dengan cabaran sosial, tanggungjawab mendidik generasi ini seharusnya dipikul bersama.
Semua pihak perlu melakukan usaha berkolaboratif dalam menyemai nilai-nilai murni Islam dalam jiwa remaja bermula dari peringkat akar umbi.
Jika kes-kes ini tidak dipulihkan secara berperingkat bermula dari rumah sehinggalah ke peringkat sekolah, tidak mustahil suatu hari nanti keruntuhan akhlak akan menjadi budaya yang sukar dibendung.
Pada waktu itu, penyesalan tidak lagi mampu memperbaiki keadaan, ibarat nasi sudah menjadi bubur.
Oleh demikian, hanya dengan kembali kepada pengahayatan sirah dan akhlak Rasulullah mampu mendidik dan membimbing remaja pada hari ini daripada terus tenggelam dalam gelombang kerosakan moral.
Besarlah harapan, semoga usaha membina generasi yang berteraskan iman dan akhlak terus giat dilakukan demi nilai, maruah dan masa depan umat Islam:
Kiriman:
MUHAMMAD DANISH PUTRA MOHD FADLIY
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

