Monday, July 20, 2026

Menelusuri legasi kemanusiaan Datuk Mohd Farid Ariffin

Lebih daripada jawatan dan gelaran, beliau dikenang sebagai pemimpin yang prihatin, melihat penderitaan rakyat sebagai tanggungjawab untuk dibantu melalui tindakan nyata.

Mesti Baca

Saudara Pengarang

Negara kehilangan seorang tokoh kemanusiaan yang besar jasanya apabila Datuk Mohd Farid Ariffin, Pengasas dan Presiden Majlis Kanser Nasional (MAKNA), telah kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 2026, pukul 5.38 petang, pada usia 84 tahun. 

Pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin masyarakat, tetapi juga seorang insan yang sepanjang hayatnya meletakkan nilai kemanusiaan, empati dan keadilan sosial sebagai teras perjuangan.

Allahyarham merupakan anak jati Kuala Nerang, Kedah, seorang peguam dan tokoh politik yang pernah menggalas amanah sebagai Timbalan Menteri Kewangan (1987–1989) dan Timbalan Menteri Kesihatan (1989–1995). 

Namun, lebih daripada jawatan dan gelaran, beliau dikenang sebagai pemimpin yang prihatin, melihat penderitaan rakyat sebagai tanggungjawab untuk dibantu melalui tindakan nyata.

Penubuhan MAKNA pada tahun 1994 lahir daripada kesedaran mendalam Allahyarham bahawa penyakit kanser memberi kesan besar kepada pesakit dan ahli keluarga khususnya mereka yang kurang berkemampuan. 

Kesedaran ini juga timbul daripada pengalaman peribadi beliau apabila anak lelakinya disahkan menghidap leukemia. 

Berteraskan prinsip bahawa tiada pesakit kanser wajar terpinggir kerana kemiskinan, MAKNA berkembang menjadi sebuah organisasi kebajikan kebangsaan yang menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi bantuan kewangan, sokongan emosi, pendidikan dan kesedaran awam.

Legasi ini telah memberi sinar harapan kepada ribuan pesakit dan keluarga mereka di seluruh negara.

Keselarasan nilai inilah yang dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan MAKNA pada 21 Ogos 2023, sekaligus mencerminkan kesinambungan sumbangan Allahyarham dalam memperkukuh ekosistem penjagaan kanser yang berteraskan nilai kemanusiaan, holistik dan berfokuskan pesakit. 

Melalui kerjasama strategik ini, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM dahulunya dikenali sebagai Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) diperkukuh dengan penempatan tiga Jururawat Terlatih MAKNA dan seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) bagi menyokong operasi Unit Paliatif.

Selari dengan komitmen tersebut, MAKNA turut melaksanakan inisiatif Rumah Perantaraan MAKNA, termasuk di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. 

Dikenali sebagai Vila Mutiara, kemudahan ini menyediakan penginapan transit percuma kepada pesakit kanser yang mendapatkan rawatan di PKTAAB. 

Rumah transit ini telah dimanfaatkan oleh pesakit yang datang dari luar kawasan bagi mendapatkan rawatan khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan penginapan yang selesa. 

Inisiatif ini secara langsung membantu meringankan beban kewangan, fizikal dan emosi pesakit serta ahli keluarga sepanjang tempoh rawatan.

Kesinambungan legasi dan nilai kemanusiaan Allahyarham terus diperkukuh di bawah kepimpinan anak beliau, Farahida Mohd Farid, yang meneruskan amanah perjuangan MAKNA dengan memperkukuh kerjasama strategik bersama institusi kesihatan dan akademik. 

Kelangsungan ini membuktikan bahawa nilai yang diasaskan oleh Allahyarham bukan sekadar kenangan, tetapi prinsip hidup yang terus diterjemahkan dalam tindakan.

Warga PKTAAB, USM khususnya Unit Paliatif, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan atas legasi kepimpinan, jasa kemanusiaan serta sumbangan besar Allahyarham Mohd Farid dalam memperjuangkan kesejahteraan pesakit kanser serta keluarga mereka. 

Sesungguhnya, pemergian Allahyarham menutup satu lembaran penting dalam sejarah kemanusiaan negara. 

Namun, nilai, empati dan semangat perjuangan yang ditinggalkan akan terus hidup melalui usaha kebajikan, kerjasama strategik dan sentuhan kemanusiaan yang telah diasaskannya. 


Kiriman:
C. DIVANEE
PKTAAB, Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan