Monday, July 20, 2026

MCMC buka rundingan awam perkukuh keselamatan dalam talian

Cadangan berkenaan menetapkan keperluan jelas kepada penyedia perkhidmatan supaya mengambil langkah munasabah dan berkesan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan Rundingan Awam berhubung cadangan kerangka kawal selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Plan) termasuk draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerangka kawal selia dan draf kod yang dicadangkan itu bertujuan mempertingkat keupayaan platform dalam talian mengurus risiko keselamatan dengan penekanan khusus terhadap perlindungan kanak-kanak, keluarga serta golongan rentan.

Menurut suruhanjaya itu, cadangan berkenaan menetapkan keperluan jelas kepada penyedia perkhidmatan supaya mengambil langkah munasabah dan berkesan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian secara praktikal.

“Melalui Rundingan Awam ini, MCMC membuka ruang kepada orang awam untuk bersama-sama membentuk ekosistem dalam talian yang lebih selamat, termasuk mendapatkan pandangan berhubung keberkesanan dan kebolehlaksanaan langkah-langkah yang dicadangkan,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut mempelawa pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan untuk meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan maklum balas.

Maklum balas bertulis boleh dihantar sama ada secara fizikal atau dalam bentuk elektronik selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 13 Mac ini.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mengakses dokumen rundingan awam berkaitan cadangan kerangka kawal selia Pelan Keselamatan Dalam Talian serta draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak melalui laman sesawang rasmi MCMC.

Rundingan tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan pelaksanaan ONSA 2025 dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan berkesan demi menjamin keselamatan pengguna dalam persekitaran digital negara. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan