Saudara Pengarang,
Dalam era transformasi digital, data adalah satu keperluan, bukan untuk mengawal tetapi untuk memperjelas, merancang dan memajukan negara.
Namun, sekali lagi kita menyaksikan segelintir media cuba memutarbelitkan inisiatif kerajaan yang bertanggungjawab sebagai konspirasi tanpa asas.
Sasaran terbaru mereka, usaha kerajaan menggunakan data telefon bimbit yang telah dianonimkan bagi tujuan perancangan negara dan dasar awam.
Mari kita perjelaskan dari awal: tiada data peribadi yang dikongsi atau diakses.
Kerajaan dan semua penyedia rangkaian mudah alih yang terlibat telah berkali-kali menegaskan bahawa tiada nama, nombor kad pengenalan (IC) atau maklumat peribadi (PII) yang terlibat.
Data ini digunakan semata-mata untuk pembangunan infrastruktur, perancangan pelancongan dan pembentukan dasar.
Namun, beberapa portal media terus menjerit “pemantauan”, seolah-olah mahu menakut-nakutkan rakyat dengan bayangan kononnya kerajaan sedang “memerhati”.
Hujah mereka penuh dengan andaian dramatik yang tidak berlandaskan fakta. Ada yang mendakwa pola data yang dianonimkan masih boleh “dijejak balik” kepada identiti sebenar individu.
Ini bukan fakta tetapi imaginasi kreatif yang direka untuk menimbulkan ketakutan dan ketidakpercayaan.
Apa yang lebih memualkan ialah hipokrasi yang ketara. Media-media yang sama inilah yang bergantung kepada data bukan sahaja data anonim.
Malah mereka mengumpul maklumat seperti siapa membaca apa, dari mana, berapa lama, dan peranti apa yang digunakan.
Mereka gunakan data ini untuk menarik pengiklan dan membina profil pembaca.
Malah, ada yang menyediakan perkhidmatan langganan yang bermakna mereka kumpul nama, emel, butiran pembayaran dan sebagainya. Ini ialah data peribadi sebenar.
Berbeza dengan kerajaan, mereka tidak selalu telus tentang bagaimana data ini disimpan atau digunakan.
Perlu diingat, rakyat Malaysia menyerahkan lebih banyak maklumat peribadi setiap hari kepada aplikasi media sosial, laman web dan platform dalam talian, tanpa membaca terma & syarat pun.
Pernah cari percutian dan tiba-tiba dihujani iklan tiket dan hotel? Itu kerana syarikat swasta telah pun mengakses data anda dengan cara yang jauh lebih invasif daripada apa yang kerajaan lakukan.
Namun apabila kerajaan mahu menggunakan data statistik yang tidak boleh dikenal pasti untuk kepentingan rakyat, ia tiba-tiba menjadi “ancaman”?
Kalau syarikat swasta buat, ia dipanggil “pemasaran tersasar” atau “pemperibadian”.
Bila kerajaan buat ia dituduh sebagai “mengintip”. Hipokrasi ini amat nyata dan tidak masuk akal.
Tambahan pula, semua penyedia telekomunikasi terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) yang mana jika mereka melanggarnya, mereka boleh didakwa di mahkamah.
Terdapat garis panduan, rangka kerja dan saluran undang-undang yang jelas.
Tetapi malangnya, sesetengah media memilih untuk menyemarakkan rasa curiga, memutar belit fakta dan kononnya menjadi “wira privasi”, walhal mereka sendiri mengeksploitasi data pembaca mereka.
Jujurlah. Ini bukan tentang melindungi rakyat. Ini tentang mencetuskan keresahan dan membina naratif kebencian, walaupun fakta telah jelas.
Rakyat Malaysia berhak mendapat fakta, bukan ketakutan. Data bukan musuh. Media tidak bertanggungjawab – itulah puncanya.
Kiriman:
DR MAHENDRAN CHELLIAH
Kuala Lumpur
(Sumber: The Star, 13 Jun 2025)

