
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita diberikan petunjuk dan kekuatan serta dapat meraih kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Tinggalkan semua perkara lagha yang menghilangkan ganjaran Jumaat. Hentikan seketika interaksi telefon pintar, berbual-bual atau tidur di ruang penuh keberkatan ini.
Lupakan sejenak urusan dunia dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada khutbah yang disampaikan.
Mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Akhlak Mulia Pelindung Remaja”.
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Usia remaja adalah fasa kritikal yang mencabar dan melibatkan perubahan fizikal serta mental. Fasa remaja ini adalah waktu seseorang mula mencari identiti.
Mereka amat sensitif bukan sahaja dengan persepsi orang lain bahkan perasaan mereka sendiri.
Hal ini menyebabkan seorang remaja cenderung melakukan tindakan sesuai dengan keinginan mereka.
Tempoh ini merupakan penentu corak kehidupan masa hadapan aset agama kita. Lebih-lebih lagi, zaman kini sangat mencabar.
Isu-isu akhlak remaja seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan buli semakin membimbangkan. Sebagai contoh, kes buli menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.
Berdasarkan statistik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, sebanyak 7,681 kes direkodkan pada tahun 2024 berbanding 3,883 kes pada tahun 2022. Hampir 70 peratus kes buli berlaku dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Kita perlu melakukan sesuatu untuk membimbing remaja agar terjaga masa hadapan mereka. Paling penting bermula daripada keluarga.
Tuntutan ini selari dengan ayat yang dibacakan di awal khutbah tadi dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Isu-isu kebejatan akhlak di kalangan remaja pada hakikatnya mencerminkan kehilangan arah dalam mencari erti kehidupan.
Kecelaruan inilah yang menyebabkan remaja mencari sesuatu yang boleh memberikan mereka satu kepuasan jiwa.
Alhasil, dopamin-dopamin palsu seperti trend-trend jelik di media sosial, kandungan lucah atau ketagihan barangan terlarang menjadi jalan pintas bagi memperoleh kegembiraan segera.
Maka, amanah dan tanggungjawab kita bersama adalah untuk memastikan setiap anak-anak remaja kita faham akan jati diri Muslim yang benar.
Remaja perlu sedar ketaatan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah ialah kunci kesejahteraan dunia dan akhirat.
Diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Ibnu Abbas radiyallahuanhu yang masih remaja, ketika beliau membonceng tunggangan bersama Nabi SAW, baginda berpesan:

Maksudnya: “Wahai anak muda! Aku akan mengajarkan kepada kamu beberapa kalimat: “Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu. Jagalah Allah, maka engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. Jika engkau memohon (meminta), mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.””
Penekanan akidah dalam kehidupan remaja amat penting. Akidah yang rapuh akan memudahkan syaitan melakukan kerjanya. Beramal dengan syariat dirasakan kolot.
Tambahan pula, momokan kepada gaya hidup beragama yang disuntik dalam kandungan hiburan dan media sosial akan menjauhkan lagi remaja daripada kehidupan beragama.
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Sidang mimbar menyeru jemaah sekalian agar membentuk kekuatan akidah golongan remaja dilakukan dengan pendekatan kasih sayang.
Kadang-kadang dalam membetulkan gaya hidup kita sering menggunakan kekasaran berbanding pendekatan berbincang dan mendengar.
Tanpa menafikan kepentingan ketegasan dalam menerapkan disiplin mereka di rumah. Namun sebagai seorang muslim, ketegasan dan toleransi perlu bergerak seiring.
Mereka juga mengharapkan pengiktirafan daripada insan tersayang. Mereka masih kabur tentang baik buruk tindakan yang dilakukan.
Mari kita ambil teladan daripada Rasulullah SAW yang menunjukkan cara menasihati dengan kasih sayang.
Sebagaimana hadis riwayat Abu Daud daripada Muaz bin Jabal radiyallahuanhu bahawa Rasulullah SAW memegang tangannya sebelum menasihatinya menerusi sabdanya:

Maksudnya: “Wahai Muaz, demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu, demi Allah aku mencintaimu.” Kemudian Baginda bersabda: “Aku wasiatkan kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau tinggalkan di penghujung setiap kali solat untuk mengucapkan “Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir dan bersyukur kepada-Mu serta beribadah kepada-Mu dengan baik”.
Marilah kita sama-sama berjuang dan meneruskan dakwah Rasulullah SAW agar generasi yang seterusnya merupakan generasi yang bukan sahaja tinggi pemikirannya malah teguh imannya dan baik akhlaknya.
Buat remaja yang mendengar khutbah hari ini, kalian perlu sedar bahawa kalian aset agama ini. Masa remaja bakal menentukan hala tuju masa hadapan.
Kuatkanlah jati diri kita sebagai seorang muslim. Memang menjadi lumrah untuk ragu-ragu dengan keputusan kehidupan, rasa takut disisihkan rakan sebaya dan mula sedar akan perasaan sendiri.
Namun jangan sesekali lepaskan hubungan kita dengan Allah SWT!
Jadikanlah akhlak mulia pelindung diri daripada pengaruh buruk. Sabarkan diri mendengar nasihat orang yang lebih tua terutamanya ibu bapa.
Di balik untaian nasihat yang mungkin seolah menghiris hati itu, ada kasih sayang dan keprihatinan mereka. Marah bukan kebencian, tapi tanda sayang.
Katakan kalian berada dalam keluarga yang berantakan, jangan teruskan lagi kitaran tersebut. Biarlah kita menjadi penghenti kitaran negatif dan menjadi lebih baik daripada generasi sebelum kita.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 7 November 2025. Tertakluk kepada perubahan - Editor

