Tuesday, July 21, 2026

TikTok jadi platform rekrut ‘keldai dadah’? MCMC tuntut penjelasan

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, terutamanya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara. 

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan media mengenai penggunaan platform TikTok bagi merekrut individu untuk aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.

Menurut MCMC, susulan laporan tersebut, pihaknya telah meminta penjelasan rasmi daripada pihak TikTok berhubung isu berkenaan.

Mereka mahu mengetahui sejauh mana mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman TikTok terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah, termasuk tawaran kerja palsu yang berpotensi memperdaya pengguna.

“Sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya pengguna bagi kegiatan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu, merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, MCMC menegaskan, Seksyen 263(1) memperuntukkan bahawa setiap pemegang lesen adalah bertanggungjawab mengambil langkah terbaik memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalannya tidak digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, terutamanya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara. 

“Tawaran seperti ini sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa menjadi ‘keldai dadah’,” katanya.

MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ini bagi memperkukuh pemantauan serta meningkatkan kesedaran awam terhadap risiko penyalahgunaan media sosial bagi kegiatan jenayah rentas sempadan.

Sebelum ini, AKPS merampas 86 kilogram (kg) dadah bernilai RM8.3 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) selepas menahan empat remaja yang dipercayai diperdaya sindiket melalui aplikasi TikTok. 

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia bawah 25 tahun itu terdiri daripada dua pasangan kekasih dan tunang.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai bergerak dari Johor ke Pulau Pinang menaiki bas sebelum menginap di beberapa hotel sekitar George Town.

Dua daripada mereka memiliki tiket perjalanan ke Manchester melalui Singapura seperti dijanjikan, manakala pasangan tunang hanya diberikan tiket sehingga Singapura. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan