PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) akur dengan kegagalan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke suku akhir bola sepak Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) malam tadi.
Bagaimanapun baginda bertekad untuk memperkukuhkan kelab bola sepak itu dengan membuat pelaburan di dalam dan luar padang bagi meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia.
“Saya berbangga dengan kelab ini yang berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
“Namun, kami tidak bernasib baik untuk tersingkir dengan cara sebegini dalam perlawanan malam tadi, termasuk beberapa keputusan.
“Apa-apapun saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya keputusan malam tadi,” titah baginda menerusi media sosial hari ini.
Hasrat JDT untuk mara ke suku akhir ACLE disekat oleh Buriram United selepas tewas 0-1 dalam aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.
Gol tunggal kelab dari Thailand itu disumbangkan oleh penyerangnya, Suphanat Mueanta pada minit ke-57 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di separuh masa pertama.
Dalam aksi pertama pusingan 16 di Stadium Buriram minggu lalu, Harimau Selatan berjaya mengikat tuan rumah tanpa jaringan.
Sementara itu, Tunku Ismail bertitah, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kelemahan di dalam pasukan dan sudahpun mempunyai perancangan baharu sejak beberapa bulan yang lepas.
“Kami sedang menunggu jendela perpindahan dibuka semula sebelum musim hadapan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong JDT atas sokongan luar biasa di Stadium Sultan Ibrahim. Ia sekali lagi mencatat kehadiran tertinggi di laman sendiri.
“Kepada Buriram United, tahniah dan semoga berjaya di pusingan seterusnya,” titah baginda.

