PERSEORANGAN utama negara, Lee Zii Jia tersingkir pada pusingan 32 kejohanan badminton Terbuka Seluruh England yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham awal pagi ini.
Pemenang pingat gangsa Olimpik 2024 itu terus bergelut untuk mencari kejuaraan pertama tahun ini apabila disingkirkan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long.
Zii Jia yang memenangi kejohanan itu pada 2021 nyata gagal menyaingi kekentalan pertahanan anak didik Wong Chun Han itu apabila tewas 21-19, 16-21, 12-21 dalam masa 1:02 jam.
Turut tersingkir di pusingan sama ialah beregu lelaki kedua negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang ditewaskan oleh pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 16-21, 21-16, 18-21.
Pada hari pertama kejohanan, hanya beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang melepasi saingan apabila menyingkirkan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Beregu profesional negara yang kini berada di rangking ketiga dunia itu menang ke atas pasangan yang lebih muda tersebut 22-20, 9-21, 21-18.
Malang bagi beregu lelaki negara yang mara ke separuh akhir Masters Orleans minggu lalu, Arif Junaidi-Yap Roy King gagal menyaingi beregu China, Huang Di-Liu Yang, 18-21, 21-16, 17-21.
Leong Jun Hao pula terus tidak bermaya apabila kecundang di tangan jaguh Indonesia, Jonatan Christie dengan 11-21, 19-21.
Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pula tewas kepada pasangan Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun 17-21, 18-21.
Satu beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga gagal mara ke pusingan seterusnya setelah dikalahkan pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui 18-21, 20-22.
Sementara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula tunduk kepada beregu tuan rumah, Ben Lane-Sean Vendy 18-21, 19-21. – Edisi 9

