KEJAYAAN kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) FC menjuarai Liga Super 2024/2025 iaitu yang ke-11 berturut-turut merupakan satu pencapaian luar biasa.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, ia juga merupakan piala ke-29 yang didakap oleh kelab tersebut sejak ditubuhkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail pada 2013.
“Tahniah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim FC di atas kejayaan menjuarai Liga Super 2024/2025.
“Pencapaian yang cukup luar biasa ini menandakan kejuaraan liga ke-11 berturut-turut buat pasukan Harimau Selatan dan merupakan piala yang ke-29 sejak ditubuhkan oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor pada tahun 2013,” titah Seri Paduka Baginda menerusi Facebook malam tadi.
JDT disahkan sebagai juara Liga Super musim 2024/2025 setelah menumpaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kedua-dua gol yang diperoleh Harimau Selatan itu hasil jaringan Jese Rodríguez (minit ke-45) dan sepakan penalti oleh Obregon pada minit ke-64 separuh masa kedua.
Kemenangan tersebut menjadikan JDT mencatatkan rekod bersih dengan 19 kemenangan dan hanya sekali seri serta tanpa pernah tewas dalam 20 perlawanan musim ini.
JDT dijangka menambah satu lagi koleksi piala musim ini apabila mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Sri Pahang FC, 12 April depan. – Edisi 9

