Tuesday, July 21, 2026

PM gesa IPT tempatan bina hubungan dengan Universiti Al-Quds

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta universiti tempatan menjalinkan hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqqadis.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu perlu bagi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteru ketika Majlis Ilmu Madani sempena meraikan Imam dan khatib Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri di Masjid Putra, Putrajaya malam ini.

“Ketika berucap, saya menyatakan hasrat Malaysia dalam menyambut saranan Sheikh Dr Ekrima, untuk menyegerakan usaha pembangunan semula Gaza terutama menerusi wakaf. 

“Justeru, saya meminta KPT dan universiti tempatan untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin,” kata beliau yang dikongsi dalam media sosialnya.

Menyentuh tragedi genosid sewaktu Palestin dibantai dalam keadaan umat Islam yang lesu, Anwar menyeru hadirin agar meniupkan roh perjuangan dan mengangkat martabat umat dalam pelbagai bidang serta meninggalkan masalah remeh-temeh yang memecah belah umat. 

Beliau turut mengulangi teguran yang disampaikan tatkala berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam sewaktu Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain tempoh hari.

Ini terkait permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat.

“Dalam persaingan dunia yang sengit dan mencabar, umat Islam harus merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi, menguasai kecerdasan buatan (AI) dan digital.

“Di samping menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan ihsan, seperti ditekankan dalam gagasan Madani,” katanya.

Sheikh Dr Ekrima sewaktu menyampaikan tausiah bertajuk Kedudukan al-Quds dan al-Aqsa di sisi Islam, mengupas sejarah agung kota Al-Quds yang menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmuqaddis, turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin. 

Ketika itu, kota Al-Quds menjadi saksi tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda.

“Di akhir majlis, saya zahirkan penghargaan kepada Syeikh Dr Ekrima sebagai salah seorang tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa,” kata Anwar. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan