JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah membuat serbuan serentak ke atas 12 kilang memproses sisa buangan eletronik (e-waste) haram masing-masing 10 di Segamat, Johor dan dua di Telok Panglima Garang, Selangor semalam.
Operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Alam Sekitar(JAS) itu bermula 9 pagi dengan kekuatan seramai 389 pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta beberapa JIM Negeri hasil risikan selama tiga bulan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha, seramai 754 warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 428 PATI ditahan.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada kalangan berumur di antara 20 hingga 30 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen seperti tinggal lebih masa, tiada dokumen pengenalan diri serta salah guna pas.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, China, Nepal, Cambodia, Indonesia dan Sudan. Turut ditahan, enam majikan yang merupakan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Jafri berkata, semasa serbuan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri, bersembunyi di dalam timbunan e-waste serta terjun ke dalam longkang.
Katanya, kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka; Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor dan Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pihaknya komited secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Ini termasuk kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya. – Edisi 9

