PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan wujud perbincangan awal berhubung penyertaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam parti itu.
Perdana Menteri berkata, PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk Tengku Zafrul ke dalam PKR asalkan individu berkenaan boleh menyumbang kepada parti.
“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang yang boleh beri sumbangan pada parti tapi dengan (kemasukan) cara baik supaya hubungan kita dengan parti-parti (lain) termasuk UMNO (tidak terjejas),” katanya seperti dilapor The Sun.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Nasional Khas PKR di Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini tersebar desas-desus usaha menarik Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Raja itu menyertai PKR dan dinamakan sebagai pengganti Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan PKR tidak mengamalkan budaya mengajak orang lain (ahli parti lain) menyertai parti tetapi sedia berbincang kerana parti itu mengamalkan sikap terbuka.
Beliau berkata dalam sejarah parti, ada pemimpin PKR pernah menjadi Setiausaha Agung Amanah dan ada juga yang keluar menyertai DAP.
“Jadi berhubung dengan Keadilan (PKR), selama ini kita (sememangnya) buka ruang tapi selalunya kita runding dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Anwar menghadiri kongres itu yang antara lainnya bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.