Tuesday, July 21, 2026

Berpada sambut Trump, jangan sehingga lupa kejahatannya – Mufti

Tidak salah menyambut Trump atas dasar diplomatik antara kerajaan, namun sambutan berlebihan seperti persembahan tarian dan keraian seolah-olah melupakan rekod kezalimannya...

Mesti Baca

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur cara sambutan yang dianggap terlalu meriah terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sempena lawatannya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, tidak salah menyambut Trump atas dasar diplomatik antara kerajaan, namun sambutan berlebihan seperti persembahan tarian dan keraian seolah-olah melupakan rekod kezaliman dan dasar luar Trump yang menyokong kekejaman terhadap umat Islam, khususnya di Palestin.

“Saya tiada masalah untuk menyambut Trump sebagai ketua negara atas urusan diplomatik. Sambut sekadarnya. Namun sambutan yang terlalu meriah tidak melambangkan bantahan kita terhadap tindakan jahat beliau selama ini,” katanya menerusi Dr MAZA Channel hari ini.

Beliau mengulas ketibaan Presiden Trump di negara ini, yang disambut dengan persembahan tarian tradisional dan kibaran bendera oleh para pelajar sekolah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malahan Trump yang diiringi isterinya, Melania Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dilihat menari bersama seketika ketika melalui karpet merah yang terhampar.

Mohd Asri turut menyifatkan Trump sebagai antara individu yang berada “di belakang kejahatan puak yang pernah disumpah menjadi kera dan khinzir”, merujuk kepada pihak yang menzalimi rakyat Palestin.

Beliau berkata, negara-negara Eropah tentu menyambut kedatangan Trump dengan bantahan rakyat, tetapi di Malaysia beliau disambut dengan kegembiraan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Genosid dan segala bantuan senjata serta veto yang beliau gunakan bagi membolehkan semua itu berlaku, bagai tiada kesan ke atas dirinya di negara-negara orang Islam. Menyedihkan,” ujarnya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan