Wednesday, July 22, 2026

Mufti Perlis ingatkan KPN: ‘Kita berada di Malaysia, bukan India’

Apakah undang-undang kita hanya 'cengih' (keras) untuk yang beragama Islam sahaja?

Mesti Baca

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengharapkan agar Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bertindak adil dan profesional dalam menangani isu berkaitan agama.

Menurut beliau, tindakan Mohd Khalid membuat keputusan mendakwa penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri mencetuskan tanda tanya pelbagai pihak.

“Saya sendiri tertanya-tanya tentang sikap adil dan profesionalisme KPN dalam isu ini. 

“Apatah lagi kita berada di Malaysia bukan di negara India. Apakah undang-undang kita hanya ‘cengih’ untuk yang beragama Islam sahaja?,” soal beliau menerusi media sosialnya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tentang pendakwaan ‘yang menimbulkan persoalan’ terhadap kedua-dua individu terbabit.

Mohd Asri berkata, tindakan KPN itu  menambahkan lagi persoalan dalam kalangan umat Islam yang resah tentang hal tuju pengurusan negara terutama bila menyentuh isu agama.

“Adalah menjadi harapan kita agar KPN mengambil kira soal keadilan terhadap umat Islam, profesionalisme, latar isu serta identiti negara. 

“Negara ini memerlukan mereka yang jujur dan amanah khususnya dalam mengendalikan hal-hal keselamatan dan keadilan,” katanya.

Justeru, sempena bulan Ramadan beliau mendoakan agar negara kita berada di bawah kepimpinan dan pengurusan yang adil dan menjaga identiti negara ini khususnya berkaitan agama dan umat ini. 

“Kita akan terus memantau dan menyatakan pendirian kita dari masa ke semasa insya-Allah,” katanya.

Semalam media melaporkan, polis mengesahkan penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan ke Thailand.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan