Anwar Ibrahim bersama para pemimpin ASEAN pada pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Kuala Lumpur. - Foto: PMO
Oleh COLLINS CHONG YEW KEAT
COLLINS CHONG
SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-47 bakal menjadi pentas strategik yang penting bagi Malaysia dalam memperkukuh peranan kepimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Sidang ini memberi ruang kepada Malaysia untuk membentuk acuan baharu ASEAN yang lebih dinamik dan relevan, sekali gus membawa keluar rantau ini daripada kepompong konvensional yang terlalu bergantung pada pendekatan lama bersifat regional semata-mata.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia berhasrat menyuntik nafas baharu ke dalam kerangka ASEAN agar kekal relevan dan berpengaruh dalam landskap global.
Ini termasuk memperkukuh peranan ASEAN sebagai penghubung utama antara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, India, Kesatuan Eropah, GCC dan BRICS.
Sebagai tuan rumah, Malaysia memiliki kelebihan agenda setting dalam menentukan fokus utama perbincangan.
Donald Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur akhir bulan ini.
Kehadiran pemimpin kuasa besar dunia akan memperkukuh imej Malaysia sebagai kuasa penghubung dan penyeimbang (bridge nation dan power balancer) dalam membentuk platform dialog yang berasaskan keamanan, diplomasi dan penyelesaian konflik.
Pendekatan ini sejajar dengan prinsip “centrality of ASEAN”, iaitu dasar berkecuali dan berasaskan konsensus, yang memperkukuh kredibiliti diplomatik Malaysia serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan rantau ini.
Memperkasa Suara Kolektif ASEAN
Sidang kali ini dijangka memberi penekanan kepada usaha memperkukuh “suara bersama ASEAN” dalam menangani isu keselamatan serantau, khususnya berkaitan Laut China Selatan.
Rundingan berterusan mengenai Kod Tatalaku (Code of Conduct – CoC) akan menjadi keutamaan bagi menjamin kebebasan pelayaran dan mengurangkan ketegangan antara kuasa besar.
Namun, ASEAN masih perlu bergerak lebih seiring dan bersepadu dalam mempertahankan kepentingan serantau serta kedaulatan negara anggota.
Walaupun ASEAN kekal berkecuali dan tidak memihak, Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam memastikan platform diplomasi terus digunakan untuk pembangunan serantau berasaskan keamanan dan undang-undang antarabangsa.
Agenda Keterangkuman dan Kerjasama Baharu
Selain isu keselamatan, sidang kali ini turut memberi tumpuan kepada aspek “low politics” yang lebih dekat dengan rakyat.
Antara agenda utama termasuk perubahan iklim, keselamatan makanan dan tenaga, pembangunan ekonomi digital, keterangkuman pendidikan serta kerjasama dalam menangani bencana alam dan jenayah siber.
Malaysia berpotensi menjadi peneraju serantau dalam teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, menerusi inisiatif seperti ASEAN Power Grid dan jaringan keterhubungan digital.
Ini juga penting bagi merapatkan jurang pembangunan antara negara ASEAN, termasuk dari segi ekonomi, pendidikan dan infrastruktur.
Perbincangan mengenai perlindungan pekerja asing dan pelarian turut memperkukuh komitmen ASEAN terhadap hak asasi manusia serta kesejahteraan sosial, selaras dengan visi ASEAN Socio-Cultural Community 2025.
Tumpuan Ekonomi dan Daya Saing Serantau
Dari sudut ekonomi, tumpuan sidang ini meliputi daya tahan perdagangan, keselamatan rantaian bekalan, serta persaingan dalam sumber strategik seperti semikonduktor dan mineral kritikal.
Malaysia dijangka memainkan peranan utama dalam memperkukuh transformasi digital dan ekonomi hijau, selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kelestarian dan tanggungjawab global.
Cabaran utama ASEAN masih terletak pada jurang ekonomi antara negara anggota, kebergantungan terhadap pelaburan luar dan tahap perdagangan intra-ASEAN yang masih rendah.
Justeru, Malaysia komited untuk memacu sinergi ekonomi serantau dan memastikan ASEAN Community 2045 menjadi realiti yang mampan.
Malaysia juga terus mengukuhkan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP) dengan menekankan keterangkuman dan kerjasama praktikal dalam bidang ekonomi biru, tenaga hijau dan pembangunan berasaskan sains, bagi memastikan rantau ini kekal bebas, terbuka dan berasaskan undang-undang.
Manfaat Langsung Kepada Rakyat
Walaupun bersifat diplomatik, hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan memberi impak langsung kepada rakyat.
Integrasi ekonomi dan pengukuhan rantaian bekalan bakal membuka peluang luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor digital, pelancongan dan tenaga hijau.
Inisiatif seperti ASEAN Scholarships, Student Exchange, dan Digital Talent Mobility pula memperluas peluang mobiliti ilmu dan tenaga kerja profesional di seluruh rantau.
Dalam masa yang sama, kerjasama serantau dalam kesihatan awam, keselamatan makanan dan mitigasi perubahan iklim akan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan sosial rakyat.
Secara tidak langsung, kesedaran serantau yang meningkat akan membina semangat “One ASEAN” – komuniti serantau yang berasaskan nilai kemanusiaan, keamanan dan kemakmuran bersama.
Kesimpulan
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bukan sekadar perhimpunan diplomatik, tetapi titik tolak pembaharuan strategik bagi rantau ini.
Bagi Malaysia, ia menjadi peluang untuk menonjolkan kepimpinan berwawasan, memperkukuh solidariti serantau, serta memastikan manfaat ekonomi dan sosial dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
Langkah ini sejajar dengan aspirasi ASEAN Community Beyond 2025 dan visi Malaysia MADANI, yang menekankan kepimpinan berasaskan nilai, tanggungjawab global dan kemakmuran bersama.
Penulis ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya. Artikel ini telah disunting bagi disesuaikan dengan gaya penulisan Edisi 9 tanpa mengubah intipati asal. - Editor
SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...