
SUDAH terlalu lama isu pembinaan rumah ibadat bukan Islam yang tidak terkawal dibiarkan berlarutan, seolah-olah undang-undang tanah dan peraturan negara boleh diketepikan atas nama sentimen agama.
Lebih serius, terdapat kes rumah ibadat dibina secara jelas di atas tanah milik individu atau pihak swasta tanpa kebenaran sah, namun tindakan penguatkuasaan kelihatan lembap, selektif dan tidak tegas.
Malaysia bukan negara tanpa undang-undang. Kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan tidak pernah memberi keizinan kepada mana-mana pihak untuk melanggar hak milik orang lain, apatah lagi mencabar kuasa pihak berkuasa tempatan.
Menjadikan kebebasan beragama sebagai perisai untuk menghalalkan pencerobohan tanah adalah satu bentuk manipulasi yang berbahaya dan tidak boleh diterima.
Lebih mengecewakan, terdapat pihak yang berani menggunakan alasan mimpi, mitos sejarah atau naratif sentimental bagi mempertahankan pembinaan rumah ibadat tanpa bukti pemilikan yang sah.
Jika alasan sebegini diterima, maka runtuhlah seluruh sistem pentadbiran tanah negara. Geran, penama berdaftar dan kelulusan rasmi tidak lagi bermakna apa-apa, digantikan dengan cerita lisan dan emosi semata-mata.
Hakikatnya, semua agama tanpa pengecualian menolak perbuatan merampas atau menggunakan hak orang lain tanpa izin.
Namun, apabila rumah ibadat dibina secara haram, nilai agama dijadikan topeng untuk menutup perbuatan yang jelas bercanggah dengan prinsip moral dan undang-undang. Ini bukan soal agama, ini soal kejujuran dan penghormatan terhadap negara.
Jika amalan ini terus dibiarkan, kita bakal berhadapan dengan situasi yang tidak masuk akal — rumah ibadat dibina lebih banyak daripada jumlah penganut, bukan kerana keperluan sebenar, tetapi kerana ketiadaan kawalan dan ketegasan kerajaan.
Lebih buruk, ia membuka ruang kepada provokasi, eksploitasi politik dan ketegangan antara kaum yang akhirnya menggugat keharmonian negara.
Kerajaan tidak boleh terus bersembunyi di sebalik alasan “sensitiviti” dan “keharmonian” untuk mengelak daripada bertindak. Keharmonian tidak dibina melalui sikap berlembut terhadap pelanggaran undang-undang.
Keharmonian hanya wujud apabila undang-undang ditegakkan secara adil dan konsisten terhadap semua pihak, tanpa mengira agama atau latar belakang.
Justeru, penubuhan sebuah jabatan khas bagi mengawal selia rumah-rumah ibadat bukan Islam bukan lagi satu cadangan, tetapi satu keperluan mendesak.
Jika Jabatan Agama Islam Negeri diwujudkan untuk memastikan rumah ibadat umat Islam diurus secara tersusun dan berperaturan, maka tiada alasan munasabah untuk menafikan mekanisme yang sama bagi agama lain.
Ini bukan diskriminasi. Ini adalah tadbir urus. Ini bukan penindasan. Ini adalah penguatkuasaan undang-undang.
Dan jika kerajaan masih gagal bertindak, persoalannya bukan lagi tentang kebebasan beragama, tetapi tentang sejauh mana “keberanian” kerajaan mempertahankan kedaulatan undang-undang negara sendiri. – Edisi 9

