Sunday, July 19, 2026

Urus tadbir rumah ibadat tertakluk di bawah tiga akta – KPN

Justeru, segala urusan berkaitan pembinaan, pengubahsuaian dan pematuhan rumah ibadah adalah tertakluk kepada undang-undang tersebut.

Mesti Baca

SEMUA rumah ibadat di negara ini termasuk kuil perlu tertakluk kepada tiga undang-undang sedia ada yang terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berkata, tiga undang-undang tersebut ialah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Justeru, tegas KPN, segala urusan berkaitan pembinaan, pengubahsuaian dan pematuhan rumah ibadah adalah tertakluk kepada undang-undang tersebut.

“KPN ingin menegaskan bahawa pengurusan isu berkaitan tadbir urus rumah ibadat di negara ini dilaksanakan berlandaskan kerangka perundangan sedia ada serta prinsip kedaulatan undang-undang, selari dengan Perlembagaan
Persekutuan dan semangat Malaysia Madani,”kata KPN dalam kenyataan hari ini.

Menjelaskan perkara itu, KPN berkata, bagi Akta 171, kerajaan memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal selia struktur bangunan, kebersihan serta memastikan tiada pembinaan rumah ibadat dilakukan tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran masing-masing.

Bagi Akta 133 pula, berfungsi mengawal aspek teknikal pembinaan dan keselamatan struktur bangunan rumah ibadat demi menjamin keselamatan awam.

Manakala Akta 172 yang dilaksanakan melalui PLANMalaysia bagi tujuan perancangan pengezonan dan penetapan tapak khusus rumah ibadat dalam
rancangan tempatan.

Sehubungan itu, KPN menegaskan, sebarang isu berkaitan rumah ibadat perlu ditangani secara berhemah, berfakta dan berlandaskan undang-undang, tanpa mengheret sentimen perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“KPN kekal komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh kefahaman, dialog dan keharmonian antara penganut agama, sambil menghormati bidang kuasa agensi berkaitan serta keputusan pihak berkuasa yang berlandaskan undang-undang,”katanya.

Sehubungan itu, semua pihak diseru agar menghormati proses perundangan,
mengelakkan spekulasi serta mengekalkan semangat saling menghormati demi memelihara perpaduan nasional dan kestabilan negara.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua pembinaan rumah ibadah termasuk kuil, masjid atau gereja perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurut beliau, ketegasan berhubung peraturan itu dibuat bagi menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

“Saya tegaskan saya tidak setuju dengan percambahan kuil-kuil yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Mesti ikut peraturan sama seperti masjid atau surau atau gereja, tetapi jangan timbul permusuhan, jangan langgar peraturan.

“Kalau sudah kita langgar hasilnya kebencian, masalah tidak selesai,” tegasnya ketika berucap pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di Ampang, Selangor hari ini. – Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan