30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

RUU lulus: Pencemar alam sekitar berdepan hukuman lebih berat

Mesti Baca

PENCEMAR alam sekitar akan berdepan hukuman lebih berat selepas ini setelah Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 diluluskan oleh Dewan Negara.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, antara pindaan yang dibuat ialah memantapkan hukuman penalti dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta.

Kementerian itu berkata, turut dipinda ialah menaikkan kadar kompaun daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

Selain itu, katanya, turut dimasukkan ialah denda maksimum RM10 juta bagi kesalahan melibatkan pencemaran air, buangan minyak serta buangan di perairan negara serta pelupusan haram buangan terjadual.

“Dengan pindaan ini, Kementerian percaya isu-isu pencemaran alam sekitar dapat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan.

“Pindaan ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan dalam mengekang dan mengawal isu pencemaran alam sekitar.

Advertisements

“Kementerian berharap RUU yang diluluskan ini menjadi satu isyarat yang jelas kepada semua pihak bahawa Kerajaan serius dalam menangani isu-isu pencemaran alam sekitar di Malaysia,” kata kementerian dalam satu kenyataan, semalam.

Selain hal-hal tersebut, RUU itu turut mengenakan hukuman penjara mandatori tidak melebihi lima tahun ke atas kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).

Kata NRES, pindaan tersebut bertujuan memperkasa fungsi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan aspek pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.

“Pindaan ini memfokuskan kepada usaha memantapkan dan meningkatkan kadar penalti ke atas kesalahan-kesalahan berkaitan pencemaran alam sekitar,” katanya.

RUU yang dibentangkan tersebut adalah untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] buat kali yang ketujuh sejak 1974.

Pindaan kali terakhir akta ini dilakukan pada tahun 2012. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4970

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej...

Lagi Artikel Berkaitan