25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kupang di perairan PD dicemari biotoksin, tidak selamat dimakan

Mesti Baca

JABATAN Perikanan (DOF) hari ini mengesahkan kupang di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan dicemari biotoksin yang berbahaya dan tidak selamat dimakan.

DOF berkata, penemuan itu hasil analisis makmal yang dijalankan oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap sampel air dan kupang di perairan Port Dickson.

“Analisis yang telah dijalankan mendapati terdapat alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia,” kata kenyataan DOF hari ini.

Jabatan itu berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan berterusan dengan menjalankan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, ini dilakukan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, para penternak kupang di daerah ini tidak perlu memusnahkan ternakan mereka.

Ini kerana, katanya, ia akan neutralisasi dengan sendiri melainkan ternakan yang sudah dituai dan dijual di pasaran yang perlu dimusnahkan.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak makan kupang dalam tempoh 20 hari, selepas musim perayaan kita akan ambil lagi sampel untuk diuji sebelum membuat pengesahan ternakan itu selamat dimakan,” katanya dalam sidang media di Port Dickson hari ini.

Advertisements

Beberapa hari lalu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian keracunan tersebut mula dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

Menurutnya, sebanyak dua kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala lima kes dimasukkan ke wad biasa, dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar.

“Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa buah keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar Port Dickson.

“Kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot. Terdapat dua kes dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala yang lebih teruk iaitu paralisis,” katanya seperti dilapor media.

Ekoran itu, DOF telah mengambil langkah awal dengan mengeluarkan larangan sementara bagi menjual dan mengeluarkan kupang ternakan sama ada melalui sistem panggar atau pancang.

DOF juga telah menjalankan analisis makmal terhadap kupang di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan untuk mengesahkan sama ada terdapat kehadiran alga berbahaya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan