Wednesday, July 22, 2026

IR Malaysia bina jeti terapung di Sabah hasil dana ‘Charity Week’

Sebanyak 17 institusi di seluruh negara menyertai kempen tersebut melalui pelbagai aktiviti seperti juala amal, larian amal, program komuniti dan sukan, bermula 20 hingga 26 Oktober lalu.

Mesti Baca

ISLAMIC Relief Malaysia (IR Malaysia) akan menggunakan dana kutipan kempen Charity Week Malaysia 2025 untuk membina sebuah jeti terapung di Sekolah Kebangsaan Logongon, Nabawan, Sabah bagi memudahkan urusan perjalanan harian pelajar, guru dan penduduk setempat.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, projek tersebut memberi manfaat kepada 96 pelajar, 15 guru dan kira-kira 600 penduduk kampung yang bergantung kepada laluan air untuk ke sekolah.

“Kita mencari rezeki melalui apa yang kita dapat, tetapikita membina kehidupan melalui apa yang kita beri. Itu impaknya lebih hebat, lebih luar biasa.

“Saya percaya seluruh waktu kita bersama sepanjang Charity Week selama tujuh hari, telah merealisasikan kata-kata hikmah ini,” katanya di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia Datuk Nur Iskandar A. Samad dan Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Othman A. Karim, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia Siti Fadilah Mohd Hood, serta Pengarah Charity Week Malaysia 2025 Nur Athirah Sharim.

Charity Week, yang bermula di London pada 2003, kini merupakan gerakan global digerakkan sukarelawan di sembilan negara termasuk Malaysia, Qatar, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan, Pakistan dan Ireland.

Tahun ini, sebanyak 17 institusi di seluruh negara menyertai kempen tersebut melalui pelbagai aktiviti seperti juala amal, larian amal, program komuniti dan sukan, bermula 20 hingga 26 Oktober lalu.

IR Malaysia memaklumkan bahawa dana Charity Week disalurkan kepada program yang memberi manfaat kepada anak yatim dan kanak-kanak memerlukan, dengan tumpuan kepada sektor pendidikan, kesihatan, perlindungan dan kebajikan.

Sebahagian dana turut diperuntukkan bagi Rayuan Palestin IR Malaysia untuk membantu penduduk Gaza.

Empat anugerah turut disampaikan pada majlis itu meliputi The Fresh Impact Award (Kolej Vokasional Beaufort), Inspiring Future Award (Kelab Penyayang USIM), The Most Hyped Award (Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) dan Best Display of Unity Award (Sukarelawan Zakat UiTM Melaka – SUZA).

Keseluruhan kutipan Charity Week Malaysia 2025 berjumlah RM14,054.72.

Pengarah Charity Week Malaysia, Nur Athirah berkata, penyertaan institusi semakin meningkat sejak kempen itu diperkenalkan di Malaysia pada 2021, dan berharap momentum itu dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan