KEPIMPINAN dan pengalaman yang dimiliki oleh Siti Fadilah Mohd Hood diyakini mampu memperkasa Islamic Relief Malaysia (IRM) bagi mencapai visi dan misi kemanusiaan yang diamanahkan.
Demikian harapan yang diberikan oleh Lembaga Pemegang Amanah IRM terhadap Siti Fadilah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu pertubuhan itu sejak 1 Februari lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dengan pengalaman selama 18 tahun dalam bidang kemanusiaan dan kebajikan bersama pertubuhan itu, Siti Fadilah telah menunjukkan kepimpinan dalam aspek penjanaan dana, pemasaran, komunikasi, dan pembangunan program.
“Siti Fadilah sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia yang bertanggungjawab merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan operasi organisasi,” katanya dalam kenyataan.
Siti Fadilah menggantikan Mohd Shukor Tahir yang telah menamatkan perkhidmatan pada 31 Januari lalu.
Lulusan Ijazah Kejuruteraan Biokimia-Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, wanita tersebut membuktikan kewibawaannya dalam memacu inisiatif kemanusiaan berimpak tinggi menerusi rekod prestasi yang cemerlang.
Sepanjang berkhidmat di IRM, Siti Fadilah bersama pasukannya berjaya menjalankan beberapa kempen utama merangkumi program bermusim, kecemasan mahupun pembangunan mampan di dalam dan luar negara.
Antaranya Rezeki Ramadan, Palestine Appeal, Save Syria, MyYateem, Dana Wakaf Sistem Air, Kecemasan Lokal dan MySedekah.
Selain itu, beliau juga mewakili organisasi dalam kumpulan kerja global serta melaksanakan misi kemanusiaan di negara-negara seperti Somalia, Malawi, Bosnia and Herzegovina, Kosova, Turkiye, Jordan dan Bangladesh.
“Kepakaran dan komitmen beliau terhadap misi Islamic Relief diyakini dapat memacu usaha organisasi di dalam menyediakan bantuan kemanusiaan yang berkualiti dan mampan,” kata Syed Saleh. – Edisi 9

