ISLAMIC Relief Malaysia (IR Malaysia) mensasarkan sumbangan dana sebanyak RM2.25 juta menerusi kempen Rezeki Ramadan bagi membantu hampir 30,000 penerima manafaat di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, kempen yang bertemakan #gandakanpahala itu dilancarkan sejak 1 Januari lalu sebagai langkah awal memastikan dana mencukupi agar bantuan dapat disalurkan tepat pada masanya kepada mereka yang memerlukan.
Beliau berkata, ini termasuk keluarga berpendapatan rendah, anak yatim, orang kurang (OKU) dan warga emas di Malaysia serta di enam buah negara lain iaitu Palestin, Syria, Lubnan, Yaman, Sudan dan Somalia.
“Kempen Rezeki Ramadan bukan sekadar menyampaikan bantuan makanan, tetapi juga membawa mesej persaudaraan sejagat.
“Ramadan adalah masa untuk kita berkongsi rezeki dan menghulurkan tangan kepada mereka yang kurang bernasib baik, sama ada di dalam mahupun luar negara.
“Kami telah melihat sendiri bagaimana kempen ini menyatupadukan banyak pihak termasuk pihak korporat, media, ikon kemanusiaan, sukarelawan, para penyumbang dan penerima itu sendiri.
“Di akhirnya, apa yang diharapkan oleh Islamic Relief ialah kesemua penerima manfaat mempunyai bekalan makanan untuk bersahur dan berbuka sepanjang bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shukor berkata, pakej sumbangan yang ditawarkan ialah berupa Pek Makanan RM250 dan Sedekah Ramadan bermula serendah RM10.
Beliau berkata, melalui sumbangan orang ramai, IR Malaysia akan menyalurkan bantuan Rezeki Ramadan dalam bentuk pek makanan atau baucar tunai untuk kawasan-kawasan yang mempunyai kemudahan pasar raya yang mudah diakses.
Katanya, setiap pek makanan Rezeki Ramadan yang diagihkan, dilengkapi dengan makanan asas atau makanan ruji penerima manfaat mengikut negara masing-masing seperti beras, tepung, jagung, pasta, bijirin, kekacang, daging dalam tin, minyak masak, gula, teh dan kurma.
“Sebanyak 5,000 pek makanan atau baucar tunai Rezeki Ramadan akan diagihkan di seluruh Malaysia dan 730 lagi di enam negara lain,”katanya.
Tahun lalu, IR Malaysia telah membantu 6,051 keluarga di Malaysia dan 800 keluarga di Afghanistan, Bangladesh, Indonesia, Lubnan, Palestin (Gaza), Filipina, Somalia, Syria dan Yaman melalui agihan pek makanan atau baucar tunai Rezeki Ramadan.
Sepanjang kempen Rezeki Ramadan berlangsung, IR Malaysia akan menjalankan beberapa aktiviti seperti kaunter pameran, sesi perkongsian, MySinggah Ramadan, dan banyak lagi.
IR Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta menjayakan kempen ini melalui sumbangan dan sokongan. – Edisi 9