23 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

Projek HSR boleh dihidupkan semula dengan syarat… 

Mesti Baca

PROJEK Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula dengan syarat ia melibatkan penyertaan sepenuhnya pihak swasta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong, Perdana Menteri berkata, pada masa kini kerajaan terpaksa menangguhkan semua projek mega untuk memberi tumpuan kepada isu-isu tertunggak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta dan masih menunggu cadangan yang berpotensi.

“Mengenai HSR, pendirian kami adalah untuk menjemput pembabitan penuh sektor swasta kerana kerajaan ada kekangannya, isu seperti mitigasi banjir, pendidikan dan kesihatan yang menjadi keutamaan, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu ke dua tahun akan datang.

“Jadi, projek mega terpaksa ditangguhkan kerana komitmen untuk menyelesaikan isu tertunggak.

“Kami masih menunggu penyertaan yang positif dan berpotensi daripada sektor swasta untuk diteruskan apabila perlu… sudah ada beberapa cadangan dan pasukan petugas sedang menelitinya,” katanya.

Mengulas mengenai isu sama, Lawrence berkata, Kerajaan Singapura terbuka dengan sebarang cadangan baharu dari Malaysia.

Bagaimanapun, kata beliau, cadangan projek HSR tersebut perlu bermula semula daripada awal.

Jelasnya, kesalinghubungan yang lebih meluas antara kedua-dua negara akan memberi nilai tambah kepada Malaysia dan Singapura.

“Berhubung HSR, malangnya kita tidak dapat meneruskan projek asal, namun Singapura sentiasa terbuka dengan cadangan baharu daripada Malaysia.

“Bagaimanapun, (projek itu) harus bermula dari awal semula, itu pendirian kami (Singapura).

Advertisements

“Bagi kami, hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara sentiasa menjadi kelebihan,” katanya.

Lawrence berada di negara ini selama dua hari sejak semalam sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11.

Sementara itu, mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan Singapura hari ini menyaksikan beberapa persefahaman dan kemajuan dicapai dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit dan tertunggak. 

Anwar berkata, meskipun penyelesaian akhir masih belum diputuskan, namun kemajuan dan kesepakatan yang diperoleh hari ini cukup bermakna dalam usaha meneroka situasi menang-menang dalam merungkai isu-isu yang telah berlanjutan sejak puluhan tahun.

Beliau berkata, antara perkara yang disepakati termasuk persefahaman terkait pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara. 

“Perbincangan turut menyentuh rundingan isu persempadanan maritim, bekalan air, ruang udara dan eksport tenaga melalui kabel dasar laut. 

“Pendekatan ini melibatkan kerjasama erat dengan jiran serantau untuk mencapai penyelesaian terbaik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, selaku Pengerusi ASEAN, beliau zahirkan penghargaan atas sokongan Singapura terhadap usaha Malaysia untuk memanfaatkan peluang ini untuk mencipta peluang baharu dalam tenaga, pendigitalan, perdagangan, dan pelaburan serantau bagi memperkukuh kedudukan ASEAN di pentas global.

Sebelum itu, Anwar dan Lawrence menyaksikan pertukaran lapan dokumen merangkumi Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta enam memorandum persefahaman (MoU) dan satu surat niat (LOI).

Kesemua MoU dan LOI tersebut terkait kerjasama dalam bidang pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan