TAHUN baharu, naib canselor baharu. Itulah perkembangan di dua buah universiti awam setakat ini iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA).
UTM menerima Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim sebagai Naib Canselor yang baharu berkuat kuasa 9 Januari sementara Prof. Dr. Yatimah Alias pula akan memegang jawatan sama di UMPSA berkuat kuasa 13 Januari.
Demikian pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
Mohd Shafry, 49, merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra
Malaysia (UPM) pada tahun 2008.
Beliau berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran antaranya sebagai Timbalan Dekan (Ko-kurikulum dan Pembelajaran Servis) Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM (2015).
Beliau juga merupakan Pengerusi Sekolah Pengajian Pra-Siswazah UTM (2019); Pengerusi Institute for Life Ready Graduates (iLeaGue) UTM (2020) serta merupakan Felo Penyelidik di Media and Game Innovation of Excellence (MaGICX), Institute of Human-Centred Engineering (iHuMeN) UTM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM pada 2023.
Manakala Yatimah, 55, pula merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2022.
Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia pada tahun 1999 dan merupakan pakar dalam bidang Electrochemistry dan Ionic Liquids.
“Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UMPSA adalah berdasarkan kepada reputasi akademik yang diiktiraf serta pengalaman luas yang dimiliki dalam pengurusan pentadbiran di UM,” kata kenyataan KPT.
Yatimah juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014); Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018); dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari tahun 2017 hingga 2022.
“Kementerian yakin pelantikan mereka akan memperkasakan pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan teknologi terkini serta melahirkan graduan berminda global yang bersifat tersedia industri, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua mantan Naib Canselor UTM dan UMPSA iaitu Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Datuk Prof. Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTM dan UMPSA sebelum ini. – Edisi 9