UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini menganjurkan Program IoT Hackathon bagi mencungkil minat para pelajar dalam inovasi kejuruteraan.
Diadakan di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), program dengan tajaan IEEE Electron Device Sciety (IEEE EDS) itu disertai oleh 16 buah sekolah menengah di sekitar Johor Bahru.
Menurut Penyelaras Akademik, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Komputer (ECE) FKE UTM, Dr Mohd Azhar Abdul Razak, program tersebut bertujuan memberi pendedahan mendalam kepada pelajar mengenai konsep Internet of Things (IoT).
“Pada masa yang sama kita juga ingin mengasah kemahiran dan pemikiran inovatif mereka dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang terus berkembang pesat di era digital ini,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang program berlangsung, para pelajar berkenaan diberikan pengetahuan tentang penggunaan sensor, peranti pintar dan teknologi komunikasi dalam membangunkan sistem IoT yang berfungsi untuk meningkatkan kualiti hidup.
Katanya, mereka turut didedahkan kepada kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk menganalisis data yang dikumpulkan oleh peranti IoT dan membantu dalam membuat keputusan automatik bagi meningkatkan kecekapan sistem.
“Peserta juga mempelajari kepentingan pangkalan data dalam menyimpan dan menganalisis data raya yang dihasilkan oleh sistem IoT, serta bagaimana integrasi teknologi ini dapat memperbaiki prestasi sistem secara keseluruhan,” katanya.
Selain itu, Mohd Azhar berkata, peserta turut diberi pendedahan tentang cara menggunakan TinkerKit, sebuah platform pembangunan IoT, bagi membina projek mini mereka sendiri yang menggabungkan IoT, AI, dan pengkalan data.
Dalam sesi praktikal, jelasnya, guru dan pelajar diajar bagaimana untuk merancang dan membangunkan projek yang kreatif dan inovatif yang mengintegrasikan teknologi-teknologi terkini.
“Setiap sekolah diminta membangunkan projek mini IoT yang mencabar para pelajar untuk merancang dan menghasilkan sistem IoT yang inovatif.
“Projek-projek ini dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman dalam bidang kejuruteraan, teknologi, dan inovasi,” katanya.
Menerusi projek tersebut, Maktab Sultan Abu Bakar diumumkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Inovasi.
Manakala lima sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, SMK Agama Bandar Penawar, SMK Permas Jaya dan SMK Mutiara Rini menerima Anugerah Inovasi Terbaik
Mohd Azhar berkata, semua projek yang dipertandingkan menunjukkan tahap kecemerlangan yang amat mengagumkan dengan penggunaan teknologi IoT, AI, dan pangkalan data yang sangat kreatif dan inovatif. – Edisi 9