UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sedang menyiasat penyebaran naratif berunsur 3R (agama, bangsa, raja-raja) yang menghina agama Islam membabitkan seorang individu yang dikaitkan dengan universiti itu.
Menurut UMPSA, pihaknya memandang serius terhadap penyebaran kandungan menerusi media sosial tersebut kerana boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.
“UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian.
“Sentimen 3R ini tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti,” kata kenyataan UMPSA hari ini.
Sebelum ini viral dalam media sosial hantaran bersifat menghina agama Islam termasuk memijak al-Quran oleh individu yang didakwa seorang pelajar UMPSA.
Hantaran individu terbabit telah mencetuskan kemarahan warga net lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa bulan Ramadan yang mulia ini.
Difahamkan hantaran tersebut telah dipadamkan dan individu berkenaan telah memohon maaf atas perlakuannya.
UMPSA berkata, siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiri (UMPSA) Tata Tertib Pelajar 2024.
Katanya, UMPSA sentiasa mengingatkan semua warga universiti agar sentiasa mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat.
“Warga UMPSA diingatkan agar tidak menyebarkan kandungan menyentuh isu berkaitan 3R di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara,” katanya. — Edisi 9

