NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Melaka berkuatkuasa serta-merta.
Pelantikan yang dibuat Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang meletakkan jawatannya susulan pergolakan dalam parti itu semalam.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Radzi mempunyai pengalaman dan kepimpinan yang mampu membina kekuatan di kalangan pemimpin baru yang komited kepada idealisme perjuangan Bersatu.
“Tugas utama beliau ialah untuk menyusun semula struktur kepimpinan Bahagian-Bahagian Bersatu di Negeri Melaka di kalangan pemimpin tempatan termasuk anak muda dan golongan profesional dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata, pasukan kepimpinan yang baharu itu diyakini akan meneruskan perjuangan rakyat dan menjana kekuatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka pada hujung tahun ini.
Semalam, Abdul Rahim dilapor berkata, lima bahagian Bersatu di Melaka telah dibubarkan ekoran hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti.
Bahagian-bahagian tersebut ialah Masjid Tanah, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu dan Jasin.
Beliau berkata, pembubaran itu turut melibatkan Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Armada, Srikandi, Srikandi Muda, Bersekutu Bahagian serta seluruh cawangan dan sayap-sayapnya.
Pada 13 Februari lalu, Lembaga Disiplin Bersatu bertindak memecat keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Kedua-dua mereka dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa serta-merta kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Turut mengalami nasib sama ialah 15 pemimpin lain termasuk kalangan Ahli Parlimen, ADUN dan ketua-ketua bahagian parti itu di seluruh negara. — Edisi 9

