UMNO Melaka kini dalam keadaan bersedia dan berada di landasan tepat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh seluruh jentera parti di peringkat akar umbi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin gelombang baharu yang tercetus dalam kalangan ahli parti di negeri itu mampu memperkukuh kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai pilihan utama rakyat.
Menurut beliau, suasana “lautan merah” yang memenuhi Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) ketika Majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-Cawangan UMNO Negeri Melaka Tahun 2026 menjadi bukti jelas kesiapsiagaan jentera parti.
“Semangat yang membara ini adalah cerminan kesiapsiagaan jentera menghadapi medan yang semakin hampir.
“Dari kepimpinan hingga ke akar umbi, semua bergerak dengan satu matlamat untuk memastikan UMNO dan BN terus diyakini rakyat di Negeri Melaka ini,” katanya.

Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, UMNO perlu bergerak seiring dengan perubahan landskap politik semasa yang menuntut pendekatan lebih dekat dan ikhlas kepada rakyat.
“Kita sedar, cabaran hari ini tidak sama seperti dahulu. Kita mesti keluar menawan hati rakyat, mendekati mereka dengan keikhlasan dan membuktikan bahawa perjuangan ini benar-benar untuk masa depan negeri Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketegasan parti untuk berdiri dengan kekuatan sendiri merupakan satu keputusan berprinsip yang memerlukan keberanian dan kesatuan dalam kalangan ahli.
“Dalam politik, ketegasan menuntut keberanian. Kita memilih untuk berdiri dengan kekuatan sendiri dan pilihan ini hanya akan berhasil jika kita terus merapatkan saf dan bergerak sebagai satu pasukan.
“Insya-Allah, dengan semangat yang saya saksikan hari ini, UMNO Melaka akan terus mara! Bukan sekadar mempertahankan kemenangan, tetapi melakar kejayaan yang lebih besar demi rakyat dan masa depan negeri ini,” katanya. — Edisi 9

