Sunday, July 19, 2026

Amanah bersiap sedia jika UMNO ikut ‘kegilaan’ Dr. Akmal

Amanah menuntut agar UMNO mengambil kira keikhlasan PH dalam membuat keputusan berhubung pembahagian kerusi bagi PRN di Melaka dan Johor.

Mesti Baca

PARTI Amanah Negara (Amanah) menuntut agar UMNO mengambil kira keikhlasan Pakatan Harapan (PH) dalam membuat keputusan berhubung pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, Pengarah Komuniasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata, parti itu bersiap sedia untuk menghadapi persaingan dua atau tiga penjuru sekiranya UMNO mengikut “kegilaan” Ketua Pemudanya, Datuk Dr Akmal Saleh.

“Amanah mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan, demi kepentingan negara, namun mengakui pilihan diletak di tangan BN.

“Kami melihat kerjasama yang diasaskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sangat baik, penuh dengan tolak-ansur dan keikhlasan. Tiada sebab BN perlu menolak kerjasama ini. 

“Agak hairan kenapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya, kerana tiada unsur khianat atau paksaan/buli sepanjang kita bekerjasama. 

“Lainlah kalau kami seperti Pas dan PN (Perikatan Nasional) yang masyhur dengan khianat dan pemaksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Akmal sebelum ini mencetuskan polemik baharu apabila memilih untuk bekerjasama dengan Pas dalam PRN Melaka berbanding parti lain.

Dalam segmen Keluar Sekejap, ADUN Merlimau itu berkata, kerjasama dua parti Melayu-Islam terbesar itu penting ke arah penyatuan ummah.

Khalid berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang “memegang pisau” dan terserah kepada mereka bagaimana mahu mencorakkannya.

Justeru, beliau berkata, Amanah sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh UMNO.

Untuk rekod dalam PRN Melaka dan Johor lalu, BN yang bertanding secara solo telah menang besar dan menguasai lebih dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam PRN Melaka pada 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dan daripada tujuh kerusi yang tewas, PH menang lima kerusi manakala PN dua kerusi.

PRN Johor pada 2022 pula menyaksikan BN menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan manakala PH dan PN masing-masing menang 13 dan tiga kerusi. — Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan