BARISAN Nasional (BN) Sabah membuat kejutan apabila melamar bekas calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Mohd Ismail Ayob untuk bertanding mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bulan depan.
Dalam PRN Ke-17 itu, Mohd Ismail atau mesra dipanggil MIHA tewas kepada Allahyarham Bung Moktar Radin dari BN dengan hanya 153 undi dalam persaingan enam penjuru.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya memilih pendekatan calon perpaduan dalam menentukan calon bagi PRK DUN Lamag.
“Pendekatan ini selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.
“Berteraskan pertimbangan tersebut, BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) BN,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.
PRK DUN Lamag yang diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kinabatangan akan diadakan pada 24 Januari susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin bulan lalu.
Jafry yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pencalonan itu adalah strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.
Beliau turut mengakui langkah tersebut juga merupakan usaha untuk meredakan suhu politik di negeri ini.
“Sebab kita baru selesai politik, terlampau sengit, menimbulkan banyak permusuhan dan sebagainya. Bagi saya, kita ambil jalan tengah untuk memastikan dan mungkin rakyat dapat lihat, dapat kita bantu.
“Mesejnya adalah untuk memastikan DUN Lamag tidak terpinggir daripada arus pembangunan. Malah pemilihan mereka sebagai calon muda, seperti yang dimaklumi pada PRN-17 lalu, pengundi muda adalah segmen yang amat besar.
“Jadi berdasarkan itu, kita juga ingin menyediakan pelapis untuk menghadapi masa depan,” katanya.
Mohd Ismail, 44, sebelum ini merupakan ahli politik parti Warisan telah bertanding dalam PRN Ke-16 pada 2020 di DUN Lamag tetapi tewas dengan 661 undi kepada Bung Moktar.
Pada PRN lalu beliau tidak dicalonkan oleh partinya dan membuat keputusan bertanding atas tiket bebas dan tewas dengan 153 undi.
Sebelum ini, anak kepada Allahyarham Bung Moktar, Naim Kurniawan telah diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan. — Edisi 9

