SERAMAI 6,252 bekas pemimpin dan ahli UMNO termasuk di peringkat bahagian dan cawangan diterima kembali ke pangkuan parti itu di bawah gagasan Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara bekas pemimpin tertinggi parti yang diterima kembali tanpa syarat ialah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Asyraf Wajdi berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di MITC Melaka malam ini.
“Selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya di kalangan anak-anak muda,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sementara itu Asyraf Wajdi berkata, MKT menyarankan negeri-negeri dipimpin UMNO iaitu Johor, Melaka, Perak dan Pahang agar memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan dengan kenaikan bahan api dan kos sara hidup ekoran konflik di Asia Barat.
Dalam pada itu, beliau berkata, sempena minggu Sambutan 80 Tahun UMNO yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, beberapa program utama akan dilangsungkan.
“(Ini) termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan
Bumiputera, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan termasuklah Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli-ahli baharu,” katanya.
Beliau berkata, selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah memberikan kebenaran kepada sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid dalam tahun yang tiada pemilihan parti. — Edisi 9

