Sunday, July 19, 2026

PRK Kinabatangan tiga penjuru, Lamag satu lawan satu

Anak Allahyarham Bung Moktar dicabar oleh Datuk Saddi Abdu Rahman mewakili parti Warisan serta seorang calon bebas, Goldam H. Salangah.

Mesti Baca

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula pertemuan satu lawan satu.

Bagi Parlimen Kinabatangan, anak kepada penyandang kerusi berkenaan, Mohd Naim Kurniawan Moktar dari Barisan Nasional (BN) dicabar oleh Datuk Saddi Abdu Rahman mewakili parti Warisan serta seorang calon bebas, Goldam H. Salangah.

Manakala bagi DUN Lamag pula menyaksikan pertemuan Mohd Ismail Ayob yang mewakili BN dan Mazliwati Abdul Malek dari parti Warisan.

Proses penamaan calon kedua-dua PRK tersebut berlangsung di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Haron berkata, sejurus tamat tempoh penamaan calon pada pukul 10 pagi, tiada pencalonan lain yang diterima.

Mohd Ismail Ayob dicabar oleh Mazliwati Abdul Malek dalam PRK DUN Lamag.

Menurut beliau, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus sehingga jam 11.59 malam, 23 Januari 2026.

“SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktivit calon-calon yang bertanding ketika berkempen.

“Seramai 39 orang pemerhati pilihan raya daripada sembilan organisasi telah mengambil bahagian dalam PRK
Kinabatangan dan DUN Lamag untuk menentukan ketelusan pilihan raya yang diadakan,” katanya.

PRK Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember m Lalu.

SPR menetapkan hari pengundian kedua-dua PRK tersebut pada 24 Januari manakala pengundian awal pada 20 Januari.

Seramai 48,722 pengundi layak mengundi terdiri daripada 48,526 pengundi biasa manakala 196 lagi terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka.

Sebanyak 36 pusat mengundi biasa membabitkan 117 saluran dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran dibuka. — Edisi 9  

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan