Sunday, July 19, 2026

Zahid ingatkan Naim jadi wakil rakyat berani, berprinsip

Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini, sekali gus meneruskan khidmat bapanya sejak 1999.

Mesti Baca

MOHD Naim Kurniawan Moktar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan hari ini, sekali gus meneruskan khidmat bapanya Allahyarham Bung Moktar Radin di kawasan itu sejak 1999 lalu.

Mohd Naim, 32, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan Sabtu lalu.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Mohd Naim agar menjadi Ahli Parlimen yang sentiasa dekat dengan rakyat, berani memperjuangkan kepentingan kawasan dan konsisten berpegang pada prinsip.

“Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak, khidmat dan sumbangan Allahyarham Bung Moktar akan terus hidup melalui usaha dan komitmen anakandanya di Dewan Rakyat. 

“Semoga setiap langkah dipermudahkan dan diberkati oleh Allah SWT,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi Facebook beliau hari ini.

Mohd Naim Kurniawan Moktar bersalaman dengan Ahmad Zahid Hamidi sejurus mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen hari ini.

Dalam PRK Kinabatangan Sabtu lalu, Mohd Naim yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya menewaskan Datuk Saddi Abdu Rahman dari parti Warisan dan calon Bebas, Goldam H Salahah dengan majoriti 14,214 undi.

Mohd Naim memperoleh 19,852 undi manakala Saddi mendapat 5,638 undi sementara Goldam pula hanya memperoleh 946 undi.

PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diadakan serentak susulan kematian Allahyarham Bung Moktar pada 3 Disember lalu. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan