Sunday, July 19, 2026

IKM, KKTM, MJII dijenamakan sebagai TVETMARA – Zahid

Penjenamaan ini membawa mesej yang jelas di mana TVET MARA kini melangkah ke fasa baharu dengan identiti yang lebih kukuh, standard yang lebih tersusun...

Mesti Baca

TIGA institusi kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini dikenali sebagai TVETMARA di bawah penjenamaan baharunya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmaf Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ini bermakna 25 institusi terbabit meliputi Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Institut Perindustrian Jepun MARA (MJII) akan hanya mengunakan nama TVETMARA.

“Penjenamaan ini membawa mesej yang jelas di mana TVET MARA kini melangkah ke fasa baharu dengan identiti yang lebih kukuh, standard yang lebih tersusun serta hala tuju yang selari dengan keperluan industri masa hadapan,” kata beliau hari ini.

Majlis peluncuran Penjenamaan TVETMARA telah berlangsung di IKM Seberang Prai Utara, Pulau Pinang hari ini. Hadir sama, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, sejak sekian lama, TVET MARA menjadi antara tunjang utama dalam membina mobiliti sosial Bumiputera melalui pendidikan dan latihan kemahiran. 

Jelas beliau, menerusi rangkaian IKM, KKTM dan MJII, ribuan anak muda telah dilahirkan sebagai tenaga mahir industri, teknousahawan dan profesional teknikal yang menyumbang kepada ekonomi negara.

“Penjenamaan ini menyatukan 25 institusi di bawah satu jenama unggul iaitu TVETMARA sebagai komitmen MARA untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi, diyakini industri dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, automasi serta peralihan teknologi hijau dan tenaga,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata,  IKM Seberang Perai Utara mempunyai potensi besar untuk menjadi hab TVET wilayah utara, khususnya dalam bidang elektrik dan tenaga. 

Beliau berkata, dengan pelaksanaan Pelan Transformasi ke arah ‘National Electrical Energy Specialist Academy’ (NEST), institusi tersebut berperanan penting dalam melahirkan pakar tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, selari dengan agenda peralihan tenaga negara.

“Insya-Allah, usaha memperkasa TVETMARA ini akan terus diperkukuh demi melahirkan modal insan yang berdaya saing, berintegriti dan mampu memacu kemajuan negara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan