KERAJAAN hari ini mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun “ryandaselva”.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbuatan tersebut merupakan tindakan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pada masa sama, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya hari ini.
Fahmi berkata, sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali.
Sebelum ini tular dalam media sosial mengenai satu akaun Thread yang memaparkan kandungan menyentuh sensitiviti berkaitan agama, bangsa dan raja (3R) yang menghina Islam.
Difahamkan individu terbabit yang dipercayai pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah ditahan oleh polis di Kuantan hari ini. — Edisi 9

