27.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 8, 2024

UMPSA, Grab sedia akses pendidikan fleksibel untuk pekerja gig

Mesti Baca

UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengukuhkan kerjasama dengan Grab Malaysia dalam usaha menyediakan akses pendidikan dan latihan kepada golongan pekerja gig di negara ini.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, inisiatif itu mampu meningkatkan kelayakan akademik dan kompetensi golongan terbabit.

Katanya, kerjasama itu juga sebagai langkah proaktif UMPSA dalam menyokong dan meningkatkan keupayaan golongan pekerja gig sejajar dengan evolusi landskap pekerjaan semasa yang semakin berubah dan mencabar.

“Langkah ini memberi peluang kepada golongan pekerja yang aktif dalam ekonomi gig mengikuti program latihan dan pembangunan yang disediakan UMPSA melalui kerjasama anak syarikat UMPSA, UMPSA Advanced,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yuserrie berkata, dewasa ini ramai tidak meneruskan pengajian sebaliknya memilih laluan pekerjaan gig sebagai sumber pendapatan atas pelbagai faktor termasuk masalah kewangan.

“Berdasarkan pemerhatian, ekonomi tidak formal memainkan peranan penting sebagai sumber pendapatan isi rumah kini.

“Peluang bekerja dan belajar secara fleksibel membuka peluang kepada golongan itu mencari pendapatan selain membuka jalan bagi akreditasi pendidikan yang bermanfaat untuk peluang pekerjaan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, keperluan kepada peningkatan kemahiran dalam kalangan golongan pekerja gig semakin ditekankan di negara ini dan melalui kerjasama UMPSA dan Grab diharapkan dapat memberi impak yang positif kepada perkembangan ekosistem ekonomi gig dalam negara.

Advertisements

“UMPSA dan anak syarikat, UMPSA Advanced akan berganding bahu untuk menawarkan kursus yang lebih fleksibel dan latihan berasaskan kompetensi kepada rakan kongsi Grab.

“Melalui kursus dan latihan yang bakal ditawarkan, golongan pekerja gig ini turut mendapat akses kepada kursus dan latihan yang lebih fleksibel.

“Melalui penawaran kursus dan latihan dalam bentuk kelayakan mikro, sesuai bagi mereka yang tiada kelapangan mengikuti kursus atau latihan secara konvensional,” katanya.

Katanya lagi, dengan kelayakan dan kompetensi diperoleh, golongan pekerja gig berpeluang mendapatkan pekerjaan lebih baik bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi.

“Ia juga dijangkakan dapat memperkasakan kebolehpasaran mereka dan memberi sokongan kepada pertumbuhan pesat industri gig di Malaysia.

“Kerjasama yang terjalin antara UMPSA dan Grab dapat membuka peluang jalinan kerjasama syarikat multinasional dan kepakaran universiti tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, hubungan baik antara universiti dan industri boleh melonjak transformasi pendidikan ke arah lebih fleksibel sejajar dengan perubahan zaman, menangani jurang sosio ekonomi, membina masyarakat yang lebih berdaya saing, sekaligus menyokong pembangunan negara madani. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

KLDX, AsiaNext perluas pasaran aset digital di rantau ini

BURSA sekuriti digital, KLDX menjalinkan kerjasama dengan bursa sekuriti aset digital, AsiaNext bagi memperluaskan pasaran aset digital di rantau...

Lagi Artikel Berkaitan