KERAJAAN komited memperkasa ekosistem ekonomi gig secara menyeluruh dengan memperkenalkan dasar dan kerangka undang-undang khusus bagi melindungi kebajikan lebih 1.12 juta pekerja dalam sektor tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama di dunia yang menggubal undang-undang khusus untuk pekerja gig.
Beliau berkata undang-undang tersebut akan meliputi sektor penghantaran makanan (p-hailing), pengangkutan (e-hailing), ekonomi digital dan pekerjaan moden lain.
“Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Ogos atau September ini. Ia merupakan satu langkah penting ke arah membina kerangka perlindungan sosial dan undang-undang yang lebih adil, inklusif serta progresif,” katanya.
Beliau berkata demikia selepas mempengerusikan Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Lebih 100 peserta menyertai sesi berkenaan, termasuk wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan dan lebih 80 platform ekonomi gig dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan pelaksana utama untuk menyelaras, memantau dan memacu hala tuju sektor itu secara bersepadu.
“Suruhanjaya ini akan ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya dasar dan tindakan berkaitan sektor ekonomi gig dapat diselaraskan secara menyeluruh di peringkat nasional.
“Ini adalah langkah strategik untuk memastikan ekonomi gig bukan sahaja berkembang pesat, tetapi juga adil kepada pemain industri dan kebajikan pekerja tidak dipinggirkan,” jelas beliau.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ekosistem ekonomi gig kini menjadi nadi kepada jutaan rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia, graduan dan mereka yang mencari sumber pendapatan tambahan secara fleksibel.
“Matlamat kita jelas iaitu untuk mewujudkan keseimbangan antara kepentingan industri dan kebajikan pekerja gig sambil menjadikan sektor ini sebagai pemacu utama ekonomi digital negara yang responsif, inklusif dan mampan,” ujarnya.
Beliau yakin, dengan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan pemain teknologi, Malaysia mampu muncul sebagai peneraju serantau dalam pembangunan sektor ekonomi gig yang berdaya saing dan seimbang. — Edisi 9

