ANAK seorang pengadu menjadi mangsa kelewatan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah yang gagal menyiasat permohonan kad pengenalan baharu dalam tempoh munasabah.
Pendedahan itu dibuat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini selepas menerima aduan mengenai kegagalan pegawai terbabit membuka dan menguruskan kertas siasatan seperti sepatutnya.
Menurut EAIC, kelewatan itu bukan saja menyusahkan pengadu tetapi juga menjejaskan masa depan anaknya yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri sah.
“Hasil siasatan menunjukkan ada kelemahan ketara dalam cara siasatan dijalankan. Pegawai terbabit lambat buka siasatan, pengurusan kes pula lemah dan tidak ikut prosedur,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.
Tindakan pegawai itu juga, kata EAIC, dikatakan bercanggah dengan Kod Etika JPN yang sepatutnya menuntut komitmen tinggi, tanggungjawab dan tugasan diselesaikan dalam tempoh masa ditetapkan.
Susulan itu, EAIC merujuk perkara tersebut kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPN dan menyarankan hukuman tatatertib diambil terhadap pegawai terbabit mengikut Peraturan 38 di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Selain tindakan tatatertib, EAIC turut cadang beberapa langkah penambahbaikan iaitu mengemas kini prosedur kerja sedia ada dengan penetapan masa lebih jelas
Selain itu, JPN disaran menaik tarat prosedur operasi standard (SOP) siasatan supaya lebih cekap dan tersusun serta menubuhkan pasukan khas ‘Flying Squad’ di JPN Putrajaya untuk semak punca sebenar kelewatan dan kes tertunggak.
“Pasukan ini akan bantu kenal pasti sama ada kelewatan berpunca daripada sikap pegawai atau faktor lain,” kata EAIC.
EAIC dalam kenyataan sama mengingatkan semua penjawat awam agar tidak ambil mudah hal sebegini kerana ia melibatkan kepentingan rakyat. — Edisi 9

