Tuesday, July 21, 2026

Aerotrain KLIA kembali beroperasi, Anwar berpuas hati

Pengoperasian semula aerotrain sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh imej KLIA sebagai lapangan terbang bertaraf dunia yang sentiasa mendahulukan keperluan pengguna.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa puas hati terhadap tahap pengoperasian perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang kembali beroperasi bermula hari ini selepas melalui proses penyelenggaraan dan penambahbaikan menyeluruh.

Beliau yang sempat meninjau sendiri kemudahan tersebut sebelum berlepas bagi memulakan rangka lawatan rasmi ke tiga negara berkata, aerotrain yang baharu dipulihkan itu bukan sahaja berfungsi dengan cekap dan pantas, malah mudah diakses oleh semua pengguna.

“Saya berpuas hati dengan tahap pengoperasian aerotrain ini yang bukan sahaja pantas dan cekap, tetapi juga mudah diakses. Ia mencerminkan komitmen negara dalam memastikan kelancaran pergerakan serta keselesaan para penumpang,” katanya hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Anwar berkata, perkhidmatan ini amat penting kerana KLIA menjadi pintu masuk dan keluar utama negara, justeru keberkesanan sistem pengangkutan dalam lapangan terbang mencerminkan tahap kecekapan infrastruktur negara kepada pelawat antarabangsa.

Perdana Menteri turut menyifatkan pengoperasian semula aerotrain sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh imej KLIA sebagai lapangan terbang bertaraf dunia yang sentiasa mendahulukan keperluan pengguna.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta semua yang terlibat dalam memastikan proses penambahbaikan perkhidmatan berjalan lancar.

“Syabas dan tahniah kepada pihak Malaysia Airports dan semua yang terlibat atas usaha berterusan dalam menambah baik mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat dan para pelawat antarabangsa,” katanya.

Perkhidmatan aerotrain dihentikan sementara sebelum ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf sistem pengangkutan antara terminal utama dan bangunan satelit sebagai sebahagian daripada pelan transformasi KLIA.

Anwar Ibrahim berbual dengan rakan media yang ikut serta bersama delegasi beliau dalam lawatan ke tiga negara menggunakan penerbangans sewa khas di KLIA hari ini.

Sementara itu, Anwar dan delegasi Malaysia berlepas ke Rom, Itali dengan penerbangan sewaan khas bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Giorgia Meloni selain mengadakan pertemuan bersama peneraju industri perniagaan.

Menurutnya, beliau seterusnya ke Paris untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron dan mengetuai sesi rundingan bersama gergasi industri negara Perancis sebelum menyampaikan syarahan umum di Sorbonne University.

“Lawatan ini turut merangkumi penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Lula da Silva, sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN.

Katanya, Malaysia akan terus mengangkat kepentingan multilateralisme berteraskan undang-undang, tadbir urus AI, tindakan iklim dan kesihatan global demi masa depan dunia yang lebih adil dan inklusif. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan